Kegigihan seorang orang kelainan upaya (OKU) untuk menjana pendapatan sendiri walaupun serba kekurangan wajar dijadikan contoh buat golongan yang senasib dengannya.
OKU terbabit, Mohamed Al-Hafiz Bahari, 31, tekad mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Mini RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) Pamah Kulat, kini Al-Hafiz sudah memiliki syarikatnya sendiri.
Menurutnya, dia mula berkecimpung dalam bidang perniagaan percetakan, perkhidmatan Wifi dan membaiki komputer sejak tujuh tahun lalu.
“Kemudian, setahun empat bulan yang lalu saya mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat saya sendiri dinamakan sebagai Mohamed Al-Hafiz Bin Bahari.
“Terbaru, saya turut menyediakan perkhidmatan membaiki telefon dan mencetak label produk untuk usahawan yang ada di daerah ini,” katanya.
Meskipun sukar untuk bertutur dengan sempurna kerana kecacatan yang dialaminya sejak lahir, namun itu tidak mematahkan semangat Al-Hafiz untuk berdikari dan menjana pendapatan lebih RM1,900 sebulan.
“Bukan kecacatan yang menjadi kayu pengukur, sebaliknya untuk berjaya, seseorang itu perlu mempunyai minat yang mendalam dalam sesuatu perkara dan tidak mudah putus asa serta tidak malas.
“Saya memulakan perniagaan dengan bermodalkan bantuan yang diperoleh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kini saya berterima kasih kepada RTC kerana banyak membantu saya dalam menjayakan impian saya ini,” katanya.
Temu bual bersama Al-Hafiz diterjemahkan oleh Pengurus Mini RTC Pamah Kulat, Zalyira Ibrahim di mana Zalyira memberitahu, Al-Hafiz merupakan seorang yang berkeyakinan tinggi dan tidak merasa rendah diri dengan kekurangan yang dimiliki.
“Al-Hafiz seorang yang tidak segan untuk bergaul dengan semua orang walaupun serba kekurangan dan sikap ini harus dijadikan contoh buat warga OKU yang lain dan menjadi inspirasi buat mereka untuk bergaul dengan masyarakat, sekali gus berdikari dan menjana pendapatan mereka sendiri,” katanya.
Al-Hafiz merupakan salah seorang penerima bantuan peralatan di bawah Program Peningkatan bertempat di Mini RTC Pamah Kulat, di sini semalam.
Majlis penyerahan terbabit disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Seri Shahirudin Ab Moin dan turut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Pengupayaan Komuniti dan Infodesa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ahmad Sulaiman serta Adun Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram.
Shahirudin dalam pada itu berkata, kira-kira RM300 juta telah diperuntukkan oleh pelbagai agensi untuk membantu masyarakat bagi menjana dan meningkatkan taraf ekonomi mereka.
0 comments:
Post a Comment