Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 10, 2015

PERGI TANPA PESAN...


Harun Salim Bachik


Tidak hanya keluarga terdekat, pemergian pelakon dan pelawak, Harun Salim Bachik, 55, ternyata memberi kejutan besar buat rakan-rakan artis.

Malah pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan yang besar dalam industri seni tanah air.

Berkongsi perasaan sama, rakan rapatnya yang juga aktor dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki, menyifatkan Allahyarham sebagai sahabat yang sangat baik.

“Kali terakhir, saya berjumpa dengan arwah pada Jumaat lalu di sebuah restoran kerana ingin berbincang mengenai projek terbaharu kami iaitu perniagaan kek coklat.

“Tapi, ketika arwah masuk ke restoran, saya bergurau dengannya dan berkata ‘ada cahaya Nur di belakang’.

“Mungkin kerana waktu itu tengah hari dan arwah pula ketika itu kebetulan memakai jubah,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham kelmarin.

Tambah Afdlin lagi, arwah sempat menunjukkan rasa terujanya apabila di beri peluang menyertai pementasan teater Baik Punya Cilok, yang dijadualkan pada April depan.

“Ketika itu, arwah cukup seronok kerana sudah lapan bulan tidak bekerja. Namun, ALLAH SWT yang menentukan segala-galanya,” katanya.

Bukan itu saja, Afdlin turut menyifatkan arwah sebagai tulang belakang kumpulan Boboi ketika menyertai program Maharaja Lawak Mega dari 2011 hingga 2013.

“Arwah seorang yang genius. Dia selalu mencipta kelainan dengan idea-idea spontannya. Saya anggap dia sebagai ‘otai’ dalam komedi yang tidak diiktiraf ramai,” katanya sebak.

Turut merasai kehilangan Harun, pelakon dan juga pengarah, Hans Isaac pula mengambil tindakan untuk memberhentikan segala jenis bentuk promosi teater Baik Punya Cilok selama tiga hari.

“Saya tidak mahu membincangkan apa saja berkaitan kerja demi menghormatinya.

“Selepas mendengar berita ini, saya dan Afdlin terduduk seketika dan tidak tahu nak cakap apa. Lagi pula, kami baharu saja berbincang dalam tiga hari lalu.

Sememangnya, nama dia sentiasa menjadi pilihan pertama bagi setiap penerbitan filem mahupun teater dari syarikat saya,” katanya.

Bagaimanapun, Hans, tidak menolak untuk mengadakan tribute khas buat Allahyarham ketika pementasan teater kelak.

Bagi penyanyi Awie yang turut sama bergandingan dalam pementasan teater tersebut, kehilangan Allahyarham sangat mengejutkan dirinya.

"Arwah tidak menunjukkan apa-apa tanda. Memang saya nampak pergerakannya agak perlahan, tetapi dia tidak pula cakap apa-apa.

“Kita kehilangan seorang seniman yang sangat hebat,” katanya.

Dalam pada itu, Den Wahab, yang setia bersama Allahyarham sejak di awal penglibatan seni, turut merasakan kehilangan teman baiknya itu.

Den pernah berlakon bersama Harun bagi program komedi Gado Gado pada era 1980-an, mengakui rapat dengan arwah sejak 1991.

“Sebagai sahabat, ini kehilangan cukup besar. Kali terakhir kami berjumpa ketika menghadiri pengebumian Allahyarham Datuk Jamil Sulong tetapi kami kerap berhubung melalui telefon.

"Dia memang ada asma dan itulah juga faktor dia agak menyepi dalam karier seninya sejak setahun lalu,” katanya.


Hidap penyakit asma kronik

Dalam pada itu, anak-anak Allahyarham mengambil keputusan untuk tidak menjalankan pemeriksaan ‘post morterm’ terhadap bapa mereka.

Ini kerana, mereka sedia mengetahui penyakit asma tahap kronik yang dihidapi oleh Allahyarham.

Anak sulungnya, Syafiq Al-Rashid, 30, memberitahu bapanya sebelum ini telah banyak kali ke hospital untuk menjalani rawatan.

“Kematian ayah hanya dimaklumkan oleh adik bongsu. Ayah memang ada penyakit lelah sebelum ini.

“Ayah seorang yang sangat profesional dalam kariernya dan saya juga banyak membantunya.

“Saya tak tahu nak kongsi bagaimana (sedih) tapi apa yang boleh saya katakan, arwah ayah pergi dengan sangat tenang,” luahnya.

Anak kedua arwah, Danial Al-Rashid pula menjelaskan yang bapanya itu tidak jatuh seperti mana yang dihebohkan di laman sosial.

“Di sini, ingin saya tegaskan, arwah ayah tidak jatuh sebaliknya sempat berpaut dan dipapah oleh adik sebelum membaringkannya di atas pangkuannya.

“Saya tahu dia sakit tapi tidak dapat memastikan sama ada arwah ada putus ubat atau tidak. Arwah memang aktif sebelum ini, cuma sejak kebelakangan ini, dia agak mengehadkan karier seninya kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan,” katanya.

Arwah meninggal dunia setelah mengalami sesak nafas akibat daripada penyakit asma yang dihadapinya ketika singgah di Hentian Rehat & Rawat Gunung Semanggol (selatan), Perak, kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

Hampir 500 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan artis dan sahabat handai hadir bagi memberi penghormatan terakhir buat jenazah pelakon filem My Spy itu.

0 comments:

share2