“Saya memang nak sangat pergi berubat, tetapi terpaksa melupakan niat tu, bila melihat wajah ibu yang turut perlukan rawatan yang sama."
Demikian luahan bekas graduan Jurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ainatun Nadrah Napiah, 26, yang menderita penyakit saraf namun mempunyai kekangan kewangan yang membataskannya membuat rawatan.
Deritanya itu turut dikongsi bersama tiga ahli keluarga yang lain termasuk ibunya, Miah Mat Jamim, 50, adiknya, Ahmad Ikmal, 24, dan abang sulungnya, Ahmad Ikram, 29.
Menurutnya, penyakit dihidapinya itu mengambil masa lama untuk beri kesan dan dalam tempoh tiga tahun dia semakin sukar untuk berjalan.
“Ketika masih menuntut saya sudah rasa sakit sikit-sikit di bahagian pinggang dan kaki, namun pada mulanya ingat biasa sahaja memandangkan di dalam kampus memang perlu berjalan kaki.
“Memang saya abaikan sahaja sakit sehingga tamat belajar dan saya sanggup tidak bekerja kerana membantu ibu yang semakin kronik.
“Tetapi lama-kelamaan saya merasakan ada sesuatu tidak kena memandangkan saya mempunyai simptom yang sama dengan keadaan ibu,” katanya.
Ainatun berkata, penyakit dihadapinya itu tidak menghalang dirinya menjaga ibu dan adiknya yang menghidap penyakit sama, manakala abang sulung dijaga isterinya.
“Adik saya yang masih berada pada peringkat awal penyakit ini banyak bantu jaga emak sama ada memandikannya, menidurkannya atau menyediakan keperluan makan dan minum.
“Peringkat awal dalam keluarga hanya emak yang menghidapnya kira-kira 22 tahun lalu selepas melahirkan adik tetapi semakin kronik dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini,” katanya.
Menurutnya, melihatkan ibu yang semakin derita mengambil keputusan untuk menjaga ibu selepas tamat pembelajaran.
“Saya memang tak ada fikir hal lain dan hanya berharap dapat ubati ibu sahaja kalau ada wang agar lebih baik sedikit pun tak apa.
“Saya akui kami adik-beradik memang tidak pernah membuat pemeriksaan doktor pun sebab tidak mampu dan bimbang kosnya agak tinggi.
“Selepas bapa meninggal sekitar 2008, kehidupan kami bergantung dengan wang pencennya kira-kira RM800 dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk ibu,” katanya.
Tambahnya, mereka mengalu-alukan bantuan orang ramai tidak kira dalam apa jua bentuk, namun jika ada rezekinya dia ingin cuba untuk membuat pemeriksaan bagi mengetahui sejauh mana keadaan penyakit dihadapi itu, masih ada peluang untuk sembuh atau sebaliknya.
Sumbangan boleh dibuat terus ke akaun CIMB Ainatun Nadrah Napiah 7036651360.
0 comments:
Post a Comment