Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 26, 2015

JERANTUT : LAPORAN AWAL 'PAT' BATAL STURGEON

Laporan awal PAT batal sturgeon




Keputusan Kerajaan Pahang untuk memindahkan projek ternakan ikan sturgeon adalah berdasarkan laporan pemeriksaan awal tapak (PAT), dan bukan berdasarkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Profesor Dr Maketab Mohamed berkata, PAT adalah laporan awal yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memberi petunjuk kepada pemaju projek yang akan dilaksanakan berisiko besar gagal melepasi penilaian EIA.

Menurutnya, dalam kes sturgeon di Sungai Tabung, Jerantut, laporan PAT adalah antara rujukan pertama yang perlu dilepasi mana-mana pemaju yang membabitkan pembangunan berkaitan alam sekitar sebelum sampai ke EIA.

“Dalam kes ini, JAS telah mengeluarkan laporan yang mengatakan projek ini akan memberi kesan kepada alam sekitar dengan huraian terperinci mereka.

“Sekiranya pemaju tetap mahu membangunkan kawasan terbabit, maka mereka perlu menanggung kos untuk EIA dan berkemungkinan besar akan rugi kerana laporan alam sekitar di peringkat PAT sahaja sudah tidak lulus,” katanya sewaktu dihubungi semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan kenyataan kerajaan negeri yang mahu projek ternakan sturgeon dipindahkan dari lokasi awal di Sungai Tabung, Jerantut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda kerajaan negeri Pahang, Datuk Abu Bakar Harun berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat laporan EIA.

Abu Bakar berkata, susulan keputusan itu, Felda yang mengendali projek tersebut mengalami sedikit kerugian memandangkan kerja awal sudah dilakukan di tapak asal.

Projek ternakan ikan tersebut di atas tapak seluas 13.8 hektar di Kuala Tahan sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila pelbagai pihak termasuk penduduk tempatan membuat bantahan kerana mendakwa projek itu menjejaskan ekopelancongan di Taman Negara.



0 comments:

share2