Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 14, 2015

BERA: WANITA DALAM PANTANG DISERET ATAS JALAN


Seorang wanita yang masih berpantang diseret di atas jalan dan dipukul suaminya sendiri selepas pasangan terbabit bertengkar di Felda Tementi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Zul Haizal Zainal Abidin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa bengkak di kepala, calar di muka dan sakit di bahagian badan selain tiga giginya hampir patah.

“Kejadian bermula selepas pengadu mengejutkan suaminya yang sedang tidur bagi meminta dihantar ke Klinik Bandar 32 kerana anak mereka yang berumur sembilan hari mengidap demam kuning.

“Sebaik sahaja sampai di hadapan klinik, berlaku pertengkaran dalam kereta sehingga suami pengadu memaki hamun dan mendakwa anak kecil itu bukan anaknya.

“Kemudian suami pengadu berpatah balik ke rumah dan apabila sampai di rumah, pengadu dipukul dan diseret atas jalan sehinggalah dileraikan orang ramai,” katanya, di sini semalam.

Menurut Zul Haizal, mangsa yang mempunyai lima anak berumur antara sembilan bulan hingga sembilan tahun telah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebagai pesakit luar.

Wanita terbabit yang berasal dari Selangor berkahwin dengan suaminya 10 tahun lalu atas dasar cinta.

Sementara itu, Zul Haizal berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan suami mangsa yang berumur 34 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, berdasarkan siasatan awal suspek yang tidak bekerja dan menumpang di rumah keluarga angkatnya di Felda Tementi di sini, turut positif dadah.

0 comments:

share2