Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 23, 2015

USAHA BAWA PULANG SIRUL AZHAR SEDANG DILAKUKAN




Tanah Merah: Usaha membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) atau komando polis, Koperal Sirul Azhar Umar yang ditahan pegawai Imigresen di Queensland, Australia, sedang dilakukan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya perlu mematuhi peraturan tertentu pihak berkuasa Australia, sebelum dibenarkan membawa Sirul Azhar pulang ke Malaysia.

“Sekarang, tindakan kita perlu mengikut peraturan, kita rujuk Pejabat Peguam Negara dalam usaha membawa balik beliau untuk menghadapi hukuman.

“Kita di peringkat membuat permohonan untuk membawa balik dan ada proses tertentu yang perlu dilalui dan kita akan mematuhi proses tersebut,” katanya selepas Program Gotong-royong Perdana Pasca Banjir di Perumahan Polis Taman Kiara, hari ini.

Noor Rashid berkata, satu siasatan mungkin dibuat pihak Australia, bagi menilai keterangan yang akan dibentangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Biasanya, kalau belum didakwa, mereka akan lihat keterangan yang kita akan bentangkan kepada mereka dan satu inkuiri akan dibuat untuk menilai keterangan yang ada, ia bergantung kepada pihak Australia,” katanya sambil menambah, pihaknya mempunyai kerjasama baik dengan Australia.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan, Sirul Azhar ditahan pegawai Imigresen di Queensland, Australia, pada Selasa dan kini berada di pusat tahanan imigresen negara itu.

Sirul Azhar dan bekas pegawai UTK PDRM, Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh model sambilan dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah serta Sirul Azhar, dan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.

Namun, pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan untuk membebaskan Sirul Azhar serta Azilah, dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas mereka.

Bagaimanapun, Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah, bagi mendengar keputusan kes itu, kerana dipercayai berada di Australia.

Susulan itu, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Semalam, akhbar Utusan Malaysia yang memetik seorang penganalisis melaporkan, peluang membawa pulang bekas anggota UTK yang dijatuhkan hukuman mati itu mungkin tipis dan akan memakan masa lama.

Akhbar itu memetik Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood sebagai berkata, Putrajaya hanya mempunyai satu pilihan untuk membawa Sirul Azhar pulang ke Malaysia, iaitu melalui permohonan kepada mahkamah Australia.

Beliau berkata, kes itu rumit, kerana langkah membawa kes itu ke mahkamah Australia adalah untuk mengkaji sama ada wujud pengecualian terhadap prinsip asas undang-undang negara tersebut yang tidak membenarkan hukuman mati dilaksanakan terhadap pesalah.

Akan wujud kerumitan dalam kes Sirul Azhar, kerana undang-undang Australia melarang perintah ekstradisi, jika pesalah terlibat dikenakan hukuman mati.

Nik Ahmad Kamal menjelaskan, permohonan ekstradisi perlu dibuat kepada kerajaan Australia dan jika gagal, kerajaan perlu membawa permohonan itu ke mahkamah Australia.

Seterusnya, jika gagal di mahkamah negara itu, maka usaha secara diplomatik akan berterusan dan kemungkinan besar memakan masa lama, jelas beliau.

Permohonan membawa pulang Sirul Azhar hanya boleh menjadi kenyataan, jika Malaysia berjanji tidak menjalankan hukuman mati ke atasnya, dan itu tentunya sukar, kerana Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi negara ini telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya.

Sebelum ini, akhbar Australia, Sydney Morning Herald turut melaporkan, Jabatan Peguam Negara Australia tidak akan memenuhi permintaan Malaysia, kerana ia melibatkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar.

0 comments:

share2