Klebang - Kegiatan memproses dadah jenis ekstasi dan syabu bernilai jutaan ringgit terbongkar apabila satu unit rumah di Kondominium Palm Ocean, di sini, terbakar malam kelmarin.
Kediaman dua bilik yang terletak di tingkat 21 itu dijadikan makmal memproses dadah selepas pelbagai bahan kimia dan peralatan ditemui bomba ketika kerja-kerja pemadaman api dilakukan dalam kejadian kira-kira 10 malam.
Lebih mengejutkan, bukan sahaja tong dan botol mengandungi bahan kimia ditemui, malah sebuah bagasi dan beg sandang mengandungi ekstasi yang sudah dan belum siap diproses dianggarkan seberat lebih 20kg turut dijumpai.
Rumah dikatakan disewa lebih seorang individu sejak tiga tahun lalu itu, bagaimanapun tidak berpenghuni ketika kebakaran disedari seorang penduduk lelaki warga Perancis yang tinggal bersebelah unit kediaman di kondominium setinggi 31 tingkat itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Razali Bakar berkata, beberapa bahah kimia termasuk sulfur dan acetone serta peralatan memproses dadah lain, ditemui dalam rumah berkenaan.
Siasatan di lokasi juga dibantu Jabatan Kimia negeri dan bomba termasuk pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) untuk mengenal pasti bahan kimia mudah terbakar ditemui di unit berkenaan.
Polis percaya berdasarkan penemuan bahan kimia dan peralatan itu, sebanyak 10kg dadah jenis ekstasi dan syabu bernilai kira-kira RM2 juta mampu dihasilkan pada setiap kali pemproses dilakukan.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan polis sedang mengesan suspek selain melakukan siasatan pelbagai sudut.
“Pemilik kediaman ini sudah dikenal pasti tetapi ia disewakan kepada orang lain, justeru kita sedang menjalankan siasatan kerana penyewanya silih berganti.
“Kita juga memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan ini bagi mengesan suspek dan turut menyiasat berapa lama kegiatan ini sudah beroperasi di sini,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Adli Abd Rahman berkata, ketika kerja menyelamat, anggota bomba terpaksa memecahkan pintu hadapan kediaman berkenaan yang berkunci sebelum terhidu bau bahan kimia dan menemui beberapa peralatan mencurigakan ketika kerja pemadaman.
0 comments:
Post a Comment