Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 28, 2015

MARAN: LESEN TOL HANYA UNTUK PEKEBUN KECIL


Adnan Yaakob


Maran - Pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada peneroka haram di Cameron Highlands hanya untuk penanam sayur kecil-kecilan yang mengusahakannya sebagai punca pendapatan untuk menyara keluarga, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. 

Beliau berkata, peneroka tanah haram yang mengusahakan kebun sayur skala besar tidak termasuk dalam kategori mereka yang boleh dipertimbangkan bagi lesen TOL, kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan usaha pemulihan dan kelangsungan ekosistem tanah tinggi itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini dalam proses mengenal pasti mereka yang memenuhi kriteria untuk dipertimbangkan dan berharap urusan pengeluaran lesen sementara itu dapat diselesaikan pada awal Mac ini. 

"Pemberian TOL pernah dilakukan sebelum ini, namun ia dihentikan pada tahun 2000. Pemeriksaan yang kita lakukan di Cameron Highlands mendapati ada di antara penaman sayur ini telah mengusahakan tanah selama berpuluh-puluh tahun, malah ada yang sehingga 60 tahun. 

"Kerajaan prihatin dengan nasib pekebun kecil yang benar-benar mencari makan dengan menanam sayur dan telah tugaskan pihak kerajaan negeri untuk kenal pasti mereka ini, supaya TOL dapat dikeluarkan pada tanah yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Suratan Hak Milik dan Notis 5A di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, yang juga Anggota Parlimen Maran. 

Adnan berkata, penerima TOL juga akan diwajibkan untuk mematuhi peraturan dan syarat yang ketat bagi memastikan kelestarian tanah tinggi itu sebagai satu daripada destinasi pelancongan menarik dalam negara.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu kerajaan negeri Pahang bercadang memberi TOL kepada peneroka haram atas sebab tertentu untuk meneruskan aktiviti pertanian di Cameron Highlands, mengikut budi bicara kepada mereka yang dianggap layak. 

Mengulas tentang banjir, Adnan meminta penduduk di kawasan berisiko banjir berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi kemungkinan banjir gelombang ketiga yang dijangka berlaku pada Mac ini. 

Beliau juga memaklumkan sebanyak RM3.1 juta sumbangan banjir yang diterima kerajaan negeri akan dimasuk ke dalam Tabung Bencana Negeri dan akan digunakan untuk membaik pulih rumah yang rosak pada kejadian banjir baru-baru ini. 

Sementara itu, dalam ucapannya Adnan menasihatkan penerima hak milik tanah untuk tidak mudah menjual tanah itu kepada pihak ketiga, sebaliknya mengusahakannya sebaik-baiknya untuk faedah anak cucu. 

Pada majlis itu, seramai 41 penduduk Rancangan Pembesaran Kampung (RPK) Temerlong menerima Suratan Haki Milik manakala Notis 5A diberikan kepada 102 penduduk Ulu Gumbai, 75 penduduk RPK Bukit Ketawak dan 79 penduduk RPK Chedong.

0 comments:

share2