Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 28, 2015

JERANTUT: SUNGAI CETEK FENOMENA LUAR BIASA


Wan Amizan (hadapan) meninjau Sungai Tembeling yang semakin cetek di Kampung Labu.


Jerantut - Kajian terperinci perlu dilakukan segera bagi mengenal pasti punca berlakunya fenomena sungai cetek di sepanjang Sungai Tembeling selepas banjir besar surut.

Adun Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kajian menyeluruh itu harus dijalankan bermula dari Kuala Tembeling hingga ke Kampung Mat Daling membabitkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan yang lain.

Menurutnya, selepas banjir surut, paras air Sungai Tembeling semakin cetek mencecah hanya satu meter hingga menyukarkan bot penduduk untuk melalui kawasan berkenaan.

“Selepas banjir besar surut kira-kira sebulan lalu, air sungai berkenaan turun secara mendadak dan menjadi terlalu cetek.

“Saya lihat fenomena ini sebagai luar biasa dan tindakan segera termasuk mendalamkan sungai perlu dilakukan bagi mengelak musibah yang lebih buruk berlaku,” katanya pada Majlis Pelancaran Jamaah, Satu Kaedah Kesukarelawan Bersepadu di Kampung Labu, di sini semalam.

Program tersebut dirasmikan Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar.

Wan Amizan berkata, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mempunyai kepakaran dalam bidang hidrologi turut disaran bersama membantu mengenal pasti punca fenomena itu berlaku.

“Saya menyeru IPTA seperti UTM dan UMP menggembleng tenaga bersama kepimpinan setempat mengkaji dan mencari punca kejadian sungai cetek tersebut.

“Saya juga bersetuju dengan titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang hadir melawat kawasan ini minggu lalu tentang kajian lebih teliti perlu dijalankan bagi mengelakkan air naik secara mendadak ketika hujan lebat,” katanya.

Wan Amizan turut menjelaskan kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini disifatkan sebagai luar biasa kerana daerah Jerantut menerima taburan hujan yang banyak mencecah 1,533 milimeter.

Menurutnya, kejadian alam tersebut juga mengakibatkan kerosakan teruk kepada kediaman penduduk dan infrastruktur awam termasuk klinik, balai raya dan tabika di Kampung Labu.

“Kita telah mengenal pasti tanah seluas 22 hektar di kampung berkenaan bagi menempatkan semula penduduk yang kehilangan tempat tinggal selain menempatkan pangkalan hadapan yang baru di kampung ini,” katanya.

0 comments:

share2