Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 27, 2015

CUBAAN MENYOROK BAWAH LANTAI GAGAL


Seramai 53 Pati yang ditahan dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.


Jitra - Cubaan menyorok di bawah lantai sebuah rumah kongsi bagi meloloskan diri bagaimanapun gagal menyelamatkan seorang pendatang tanpa izin (Pati) daripada ditahan pihak berkuasa dalam satu operasi, di sini, malam semalam.

Pati tersebut merupakan salah seorang daripada 53 warga asing yang ditahan dalam Operasi Cantas Khas Utara yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sekitar Jitra dan Changloon.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, lelaki tersebut yang hanya berseluar pendek bersembunyi kira-kira 10 minit di bawah lantai sebelum ditemui pihak polis.

Ketua Polis IPD Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, suspek adalah salah seorang Pati yang cuba melarikan diri daripada ditahan dalam serbuan di tapak pembinaan belakang stesen minyak di Kampung Kubang Lembu, Jitra.

Menurutnya, operasi bermula jam 9 malam dilakukan di tiga lokasi berasingan dalam usaha membanteras Pati sekitar daerah itu.

“Kita berjaya menahan 44 Pati warga Myanmar, enam warga Bangladesh dan tiga dari Indonesia. Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 50 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal kita percaya mereka yang ditahan bekerja di tapak pembinaan, manakala beberapa orang Pati bekerja sebagai peniaga makanan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, selain cuba menyembunyikan diri di bawah lantai, Pati terbabit juga ditemui menyorok di sebuah bilik kecil dalam keadaan memakai seluar dalam sahaja.

Abd Rahim berkata, dua lagi lokasi serbuan melibatkan kawasan berhampiran Taman Belimbing, Jitra dan Taman Jelutong, Changloon.

“Saya anggarkan lebih kurang 200 hingga 300 orang Pati masih lagi berada sekitar daerah Kubang Pasu dan kita akan teruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa.

“Hasil pemeriksaan ke atas Pati kebanyakan mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan selain tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya.

Tambah beliau, terdapat juga Pati yang menggunakan pas kerja dan permit palsu bagi mengelak daripada ditahan.

Kesemua Pati yang ditahan dalam operasi dari jam 9 hingga 12 tengah malam berkenaan di bawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1963.

0 comments:

share2