Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 16, 2015

CHENOR: KHIDMAT SELENGGARA KENDERAAN PERCUMA


Penduduk sekitar Chenor yang mempunyai kenderaan terjejas akibat banjir boleh mendapatkan penyelenggaraan percuma di Masjid Al-Khauthar Kampung Jengka Batu 13.


Chenor - Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Temerloh dan Dusun Tua, Selangor menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan kereta dan motosikal secara percuma di Masjid Al-Khauthar Kampung Jengka Batu 13, di sini.

Perkhidmatan selama dua hari untuk masyarakat Dun Chenor itu termasuk menukar minyak hitam dan penapis manakala bagi kenderaan rosak ditenggelami banjir, penyelenggaraan dilakukan sehingga kenderaan tersebut kembali berfungsi.

Adun Chenor, Mohamed Arifin Ismail berkata, pihaknya amat menghargai khidmat sosial diberikan penuntut IKBN dalam membantu meringankan beban mangsa banjir.

Menurutnya, kerosakan kenderaan merupakan kerugian harta benda yang ditanggung mangsa banjir selain perkakas rumah akibat ditenggelami air.

“Memperbaiki kenderaan yang rosak melibatkan kos tinggi dan pasti membebankan mangsa banjir kerana pada masa sama, mereka juga memikirkan kos baik pulih keperluan rumah termasuk kelengkapan sekolah.

“Banyak perkara yang merunsingkan mangsa banjir maka dengan adanya perkhidmatan secara percuma ini, ia sangat membantu.

“Ia sekali gus memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan anak muda dan mempertingkatkan kemahiran belajar mereka dengan berhadapan situasi bermasyarakat,” katanya.

Mohamed Arifin berkata, kerja pembersihan pasca banjir masih diteruskan selepas air surut sejak dua minggu yang lalu.

0 comments:

share2