Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 13, 2015

BENTONG: KENDERAAN BOLEH LALU RABU INI


Pengguna motosikal dan pejalan kaki menunggu jambatan sehingga boleh dilalui sementara kerja-kerja membaikpulih dijalankan.


Bentong - Proses membaik pulih jambatan Kampung Baru yang runtuh sebahagiannya berjalan dengan baik dan dijangka boleh dilalui semua kenderaan bermula Rabu ini.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Bentong, Mohammad Shahid Ismail berkata, kerja membaik pulih jambatan terbabit berjalan selama 24 jam.

“Setakat ini, proses berkenaan berjalan lancar dan ia memakan masa tiga hari untuk disiapkan. Jambatan tersebut dijangka selamat untuk dibuka semula kepada laluan pengguna pada Rabu ini," katanya.

Menurutnya, selama tempoh baik pulih dijalankan, perkhidmatan bas angkut disediakan untuk kemudahan pengguna.

"Terdapat juga penduduk menggunakan jalan alternatif kecil antara Sungai Marobg ke Bentong Makmur. Jalan terbabit merupakan jalan kebun sedia ada dan ia sudah lama digunakan terutama untuk pengguna motosikal.

“Oleh kerana cuaca hujan, jalan di situ menjadi licin justeru pihak majlis akan cuba baiki jalan terbabit dan memadatkan struktur jalan tersebut dengan batu ‘crusher run’ bagi mengelakkan licin,” katanya sambil memberitahu bagaimanapun jalan tersebut hanya dibuka untuk pengguna motosikal dan kenderaan pacuan empat roda sahaja.

Dalam pada itu Mohammad Shahid memberitahu, sebuah jambatan kedua kini sedang dibina bersebelahan jambatan sedia ada untuk kemudahan pengguna jalan terbabit.

Semalam Sinar Harian melaporkan, hakisan tanah teruk disebabkan arus deras sungai mengakibatkan sebahagian jambatan Kampung Baru, di sini tidak selamat dan ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Bagaimanapun, ia dibuka sebelah bahagian khas untuk laluan pejalan kaki dan motosikal sementara bas angkut disediakan dari jambatan Ke bandar dan membuat pusingan U di Padang Teras.

Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif arah Bentong-Lebuhraya Karak-Cinta Manis-Sertik-Mempaga atau Lebu atau menggunakan laluan Sertik-Krau, Raub.

0 comments:

share2