Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 23, 2015

BEKAS JURUGAMBAR DITIPU RM90,000


Ipoh - Seorang pesara jurugambar di sebuah akhbar tempatan di sini, kerugian sebanyak RM90,000 setelah diperdaya seorang lelaki yang dikenali sebagai Lai Keat Choong atau Ah Chong.

Lew Yong Kan, 64, berkata beliau mengenali lelaki itu melalui adik angkatnya, Kok Wah.

"Ketika di sebuah kedai makan, tiba-tiba lelaki itu datang memujuk saya membantunya menyelesaikan masalah duitnya di Bank Negara dan meminjam sebanyak RM35,000 daripada saya.

"Jika saya enggan membantu, suspek berkata dia akan mati," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak di sini, hari ini.

Katanya, selepas memberi pinjaman tersebut, Ah Chong (suspek) berjanji akan membayar pinjaman sebanyak RM35,000 itu dalam masa tiga bulan namun gagal berbuat demikian dengan memberi pelbagai alasan.

"Malah dia meminta lagi RM5,000 dan kemudiannya sebanyak RM4,000 hingga jumlah keseluruhan pinjaman mencecah sebanyak RM90,000," katanya.

Yong Kan berkata, beliau membuat laporan polis di Balai Sungai Senam pada Selasa lepas apabila melihat gambar suspek terpampang di beberapa surat khabar tempatan dan televisyen berikutan kes penipuan wang sebelum ini.

"Pada 15 Januari lepas, saya melihat gambarnya keluar di kaca tv, Ah Chong (suspek) telah menipu wang seorang warga emas sebanyak RM800,000. Saya rasa tertipu dan terus membuat laporan polis," katanya.

Selain itu, beliau meminta agar orang ramai lebih berhati-hati dan tidak
menjadi mangsa penipuan seperti yang berlaku terhadap dirinya.

"Sehingga hari ini, suspek tidak dapat dikesan. Saya harap dia tampil untuk
memulangkan semula wang yang dipinjamnya," katanya.

Sementara itu, ketua urus setia pusat tersebut Mohd Rawi Abdullah berkata, kes itu telah dilaporkan kepada pihak polis namun tiada perjanjian hitam putih dilakukan semasa proses peminjaman wang.

"Kami berharap agar polis dapat menahan suspek sebelum lebih ramai menjadi mangsa penipuan Ah Chong," katanya.

0 comments:

share2