Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 25, 2015

ATM SEDIA HADAPI ANCAMAN BAHARU DI SABAH

Hishammuddin bersama anggota tentera ketika majlis ramah mesra di Ibupejabat Polis Marin Lahad Datu. Foto Sinar Harian oleh IZWAN ROZLIN


TAWAU - Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) diperkuatkan lagi dengan penambahan 12 kenderaan berperisai 8x8 buatan Turki yang dinamakan Gempita.

Penempatan Gempita ini dilihat amat perlu bagi menghadapi ancaman baharu oleh militan Sulu dan Negara Islam (IS) di kawasan terbabit.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selain penambahan Gempita, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menambah satu batalion lengkap dengan kekuatan 650 anggota di bawah Briged Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

"Batalion ini akan ditempatkan sebaik sahaja kem di Felda Sahabat, Lahad Datu siap sepenuhnya. Buat masa ini separuh dari kekuatan batalion tersebut ditempatkan di Kem Kukusan, Tawau yang melibatkan 351 anggota dan 22 pegawai," katanya selepas menyampaikan pingat Brigadier Jeneral Kehormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, hari ini .
Bagi menguatkan elemen udara, empat helikopter Agusta turut dipasang dengan mesingan Gatlin yang ditempatkan di Tawau, manakala Lahad Datu dijadikan pangkalan operasi hadapan bagi helikopter tersebut.

Ditanya mengenai penambahan aset ini cukup bagi mempertahankan pantai timur Sabah, Hishammuddin menjelaskan ia mencukupi buat masa sekarang.

Sebelum itu Hishammuddin mengadakan perjumpaan tertutup dengan pegawai dan anggota di ibu pejabat Esscomm Lahad Datu.

Sementara itu, Musa turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana terus mengutamakan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah.




0 comments:

share2