Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 29, 2014

KUANTAN : SIAP SEDIA HADAPI GELOMBANG BANJIR KE-3




Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini meminta semua pihak bersiap sedia menghadapi banjir gelombang ketiga yang dijangka bermula esok sehingga Rabu ini.

Kesiapsiagaan itu, titah baginda, amat penting bagi memastikan segala gerak kerja membantu dan menyelamatkan penduduk dapat dijalankan secara tersusun.

Perkara yang amat dititikberatkan ketika bencana banjir, titah Tengku Abdullah, adalah usaha agensi berkaitan menyelamatkan nyawa dan penghantaran barangan keperluan seperti makanan dan minuman kepada mangsa.

"Saya juga meminta agar rakyat tidak berdegil dan segera berpindah apabila diarahkan walaupun keadaan belum bahaya. Ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," titah baginda kepada pemberita selepas mendengar taklimat banjir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Talimat disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang.

Tengku Abdullah bertitah, baginda juga difahamkan daerah yang masih kritikal di negeri ini ialah Pekan, Maran, Kuantan dan Rompin.

Baginda turut berpuas hati dengan tugas dijalankan agensi yang terlibat dengan banjir dan berharap selepas ini tumpuan lebih diberi di beberapa daerah masih kritikal.

"Kita juga perlu proaktif dan meningkatkan kemahiran dalam melaksanakan tugas. Banjir berlaku setiap tahun dan saya percaya kita berpengalaman dan belajar daripadanya," titah baginda.

Baginda juga berharap pusat pemindahan mangsa dan tempat pendaratan helikopter yang lebih strategik dapat dibina di setiap daerah apabila keadaan kembali pulih.

"Mungkin satu kertas kerja dapat dibuat untuk membina pusat pemindahan dan helipad apabila keadaan kembali reda.

"Bukit-bukit yang tinggi jangan dipotong sewenang-wenangnya kerana ia lokasi yang baik untuk membina kemudahan tersebut," titah baginda.


Sumber


0 comments:

share2