Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 17, 2014

KES TEMBAK: DUA LAGI SUSPEK DITAHAN


Gambar Hiasan


Seremban - Dua orang lagi suspek ditahan semalam berhubung kejadian seorang lelaki ditembak di hadapan pusat hiburan di Kemayan Square di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata kedua-dua suspek berusia 33 dan 44 tahun itu berjaya ditahan di sekitar City Park, Seremban 2 antara 11 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

"Kedua-duanya merupakan penagih dadah dan permohonan reman akan dijalankan esok," katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Semalam empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan dan kesemua suspek terlibat ditahan reman selama 14 hari bermula semalam.

Dalam kejadian pukul 4.24 pagi itu, seorang lelaki cedera di telinga dan kepala akibat terkena tembakan.

Muhamad Zaki berkata motif kejadian berpunca daripada pertelingkahan disebabkan wanita.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki menemui mayat yang berada dalam keadaan tergantung di belakang sebuah hotel di Jalan Sungai Ujung di sini pada 3.37 petang semalam.

Katanya mayat tersebut tergantung dipercayai dengan kain sari yang membaluti badan mangsa di sebatang pokok setinggi kira-kira tiga meter di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya keadaan mayat yang sudah membengkak dan berulat menyebabkan pengecaman dan pengesahan jantina sukar dilakukan.

Muhamad Zaki berkata identiti dan jantina mangsa akan ditentukan selepas bedah siasat yang dijangka akan dijalankan hari ini.

"Tiada sebarang bukti lain ditemui pada mayat selain kain sari tersebut," katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

0 comments:

share2