Johor Bahru – Pekerja warga asing sebuah kilang tergamam sehingga tidak dapat melarikan diri selepas premis tempat mereka bekerja, di Taman Mount Austin, di sini, di serbu Jabatan Imigresen Johor, kelmarin.
Timbalan Penolong Pengarahnya, Kharulanuar Abu Bakar berkata, dalam serbuan Ops Mahir kira-kira jam 3.10 petang itu, pihaknya berjaya menahan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana pelbagai kesalahan.
Menurutnya, seramai 10 orang diperiksa dalam serbuan berkenaan namun hanya separuh ditahan membabitkan warganegara Bangladesh dan Pakistan.
“Ketika serbuan dijalankan kesemua pekerja asing sedang sibuk bekerja dan tidak menyedari kehadiran kami untuk membuat pemeriksaan.
“Semasa tiba di lokasi saya telah memperkenalkan diri untuk menjalankan pemeriksaan kepada seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis terbabit,” katanya.
Beliau berkata, lima Pati yang ditahan berumur antara 28 hingga 39 tahun itu dihantar ke Pejabat Imigresen Bahagian Penguat kuasa Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika untuk siasatan lanjut.
“Pati ditahan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155),”katanya.
0 comments:
Post a Comment