Temerloh - Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Abu Bakar di sini terpaksa melupakan hasrat untuk mengambil peperiksaan PT3 tahun ini apabila diserang penyakit misteri menyebabkan raut mukanya berubah secara tiba-tiba.
Nik Nursyazwa Samsudin 15, anak yatim yang tinggal bersama ibu, abang, kakak dan kembarnya di Kampung Loyang di sini mendakwa penyakit misteri itu dikesan awal tahun lalu apabila dia terasa ada bonjolan kecil di kaki kanannya.
Menurutnya, bonjolan itu berubah ke tangan dan akhirnya ke muka sejak tiga bulan lalu menyebabkan raut wajahnya berubah mendadak dalam masa singkat.
“Saya dapat penyakit ini selepas seekor kura-kura cacat datang ke rumah, saya bela kura-kura itu dan berinya makan kangkung selama hampir setengah tahun,” katanya.
Ibunya Nek Zainab Raja Daraman 52, berkata, dia telah menghantar anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) pada 21 Ogos lalu dan anaknya ditahan untuk rawatan selama dua minggu.
Menurutnya, sehingga kini dia tidak pasti apakah penyakit yang dialami anaknya tetapi doktor memberitahu anaknya mungkin terlebih zat besi.
Nek Zainab berkata, akibat kekurangan pendapatan, dia tidak melakukan pemeriksaan susulan penyakit anaknya itu kerana tidak bekerja dan hanya bergantung dengan pemberian bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.
“Saya tidak bekerja, anak sulung baru kemalangan motosikal, motosikal yang menjadi satu-satunya pengangkutan kami telah hancur, anak kedua pula bekerja sebagai pembantu di warung dekat kampung.
“Saya mempunyai seorang lagi anak perempuan iaitu kembar Nursyazwana yang masih bersekolah,” katanya.
Nursyazwana berkata, dia tidak pasti penyakit sebenar dihidapinya, kura-kura yang dibela mungkin satu kebetulan kerana dia pasti ada rawatan untuk menyembuhkan penyakitnya.
Sementara itu Adun Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang menziarahi keluarga tersebut berkata, beliau dimaklumkan mengenai penyakit misteri yang menimpa Nursyazwana selepas dia membela seekor kura-kura cacat.
“Itu mungkin kebetulan kerana doktor mengesyaki badannya mengalami lebihan zat besi,” katanya.
Zulpuri berkata, kepada sesiapa yang ingin membantu Nursyazwana boleh memasukkan sumbangan ke dalam akaun bersama Nek Zainab dan Nursyazwana melalui bank Bank Simpanan Nasional (BSN) nombor akaun 06113-29-0001657-6.
“Mereka juga boleh berhubung terus dengan keluarga tersebut di nombor 01114897669,” katanya.
0 comments:
Post a Comment