Shah Alam - Kerajaan dan pihak berkuasa di semua peringkat didesak menghentikan pesta arak yang dipromosikan secara meluas oleh pihak tertentu dengan segera kerana ia boleh mencabar sensitiviti umat Islam di negara ini.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan mendakwa pesta arak yang dipromosikan secara besar-besaran itu telah menjadi 'mungkar' meskipun ia dianjurkan dalam ruang bangunan secara tertutup.
"Samalah seperti aktiviti hubungan seks luar nikah (pelacuran) yang dipromosi kepada umum, ia menjadi maksiat terbuka yang wajib ke atas pihak berkuasa dan seluruh Islam bangkit mencegahnya.
"Sebagai sebuah negara yang Islam menjadi Agama Persekutuan, hak itu mestilah ditunai secara tertutup dan tidak dipromosi apa lagi dipestakan secara besar besaran begini," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas penganjuran pesta arak oleh sebuah syarikat arak terkenal di negara ini yang bermula sejak 24 September lalu dan ia berlanjutan pada 25 hingga 27 September lalu.
Difahamkan pesta berkenaan akan bersambung pada 1, 2, 3, 4, 10 Oktober dan berakhir 12 Oktober ini.
Bagaimanapun pendirian Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh dilihat tidak senada dengan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mengatakan penganjuran pesta arak berkenaan tidak boleh dihalang ekoran Malaysia merupakan sebuah negara majmuk.
Mengulas lanjut, Nasrudin memberi amaran supaya tidak menjadikan pesta mungkar dan maksiat seperti itu sebagai budaya di negara ini
"Jangan biarkan negara membangun dengan budaya mungkar dan maksiat, kelak binasa tamadun dan maruah pula hilang keberkatan justeru dimurkai ALLAH SWT.
"Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan mesti cegah mungkar ini," ujarnya.
Tegasnya lagi, pihak berkuasa agama seperti Jabatan dan Majlis Agama Islam di semua peringkat tidak seharusnya memandang sepi fenomena itu.
"Ambillah tindakan wajar. Jangan hanya memberi alasan kononnya perkara ini berada di luar bidang kuasa sedang akibatnya kelak akan melanda umat tanpa mengenal di mana kuasa dan kedudukan mereka. Bangkitlah sebelum terlewat," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment