Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 11, 2014

PEMBELI RUMAH PENDAPATAN RENDAH, SEDERHANA DIBANTU


bajet2015

Kuala Lumpur - Pengumuman Bajet 2015 semalam dijangka membantu lebih ramai rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri di tengah-tengah peningkatan harga rumah ketika ini, kata peserta dan pemerhati industri.

"Kerajaan berusaha keras menangani isu pemilikan rumah dengan menggerakkan semua agensi perumahannya seperti PR1MA Corp, Jabatan Perumahan Negara dan Syarikat Perumahan Negara Bhd.

"Ia adalah untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah hingga sederhana boleh memiliki rumah ketika mereka bergelut dengan peningkatan kos hidup sekarang," kata Pengarah Urusan Bina Darulaman Bhd Datuk Izham Yusoff.

Pemaju yang berpangkalan di Kedah itu akan bekerjasama dengan agensi relevan untuk membantu pembeli rumah kali pertama, katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dalam Bajet bahawa kerajaan melanjutkan pengecualian duti setem 50 peratus bagi instrumen perjanjian pindahan dan pinjaman, serta meningkatkan had pembelian daripada RM400,000 kepada RM500,000, sehingga 31 Disember, 2016.

"Menaikkan had pembelian kepada RM500,000 lebih realistik kerana harga hartanah telah meningkat sejak beberapa tahun lepas," kata penganalisis hartanah RHB Research Institute Loong Kok Wen.

Lebih ramai orang boleh menikmati penjimatan daripada pengecualian duti setem 50 peratus walaupun ia hanya beberapa ribu ringgit, katanya.

Mah Sing Group memuji Bajet 2015 dengan menyatakan 70 peratus daripada pembelinya berusia bawah 40 tahun dan 45 peratus pelancaran kediamannya tahun ini di bawah RM500,000.

"Kerajaan mengambil tindakan meningkatkan pemilikan rumah dengan Skim Perumahan Belia yang merupakan perkongsian pintar melibatkan Bank Simpanan Rakyat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Cagamas Bhd," kata Pengarah Urusannya Tan Sri Datuk Seri Leong Hoy Kum.

Skim itu menawarkan had pembiayaan bagi rumah pertama tidak melebihi RM500,000 bagi belia yang baru berkahwin berusia antara 25 dan 40 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000.

Sementara itu Ketua Ekonomi dan Pasaran Modal KWSP Nurhisham Hussein berkata: "Bajet 2015 menunjukkan keseimbangan antara menyediakan fiskal berhemat dengan sensitiviti dan maklum balas kepada keperluan dan aspirasi rakyat Malaysia."

Memandangkan harga hartanah yang melambung tinggi, beliau berkata golongan berpendapatan sederhana dan rendah sukar mendapat pembiayaan rumah sambil menambah KWSP mengalu-alukan pengenalan Skim Perumahan Belia buat pembeli rumah kali pertama.

"Oleh kerana bergantung kepada simpanan KWSP semata-mata tidak mencukupi untuk menyokong majoriti keperluan persaraan asas ahli, KWSP merasakan skim itu akan membolehkan belia untuk mempelbagaikan pelaburan mereka dan bersiap sedia menghadapi persaraan," kata Nurhisham.

0 comments:

share2