Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 1, 2014

PEKAN : PERISDANITA BANTU LEBIH 100 USAHANITA

Zalmah


PEKAN - Bantuan yang diberikan bagi mencapai sasaran menambah golongan usahanita bergiat lebih aktif dalam bidang keusahawanan dan perniagaan antara sokongan padu diberikan kerajaan.

Pengerusi Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita (Perisdanita) daerah, Datuk Zalmah Abdul Rahman berkata, lebih 100 usahanita di bawah Parlimen Pekan telah menerima bantuan daripada kerajaan yang menilai potensi dan kesungguhan mereka.

Menurutnya, bantuan seperti wang, peralatan serta kursus bagi menyebarkan ilmu pengetahuan dan kemahiran antara usaha kerajaan menggalakkan kaum wanita berusaha lebih giat lagi untuk mengembangkan perniagaan.

“Kerajaan sentiasa menyediakan peluang dan ruang kepada kaum wanita yang berminat untuk memajukan diri serta mencari pendapatan bagi menyara diri dan keluarga khususnya golongan ibu tunggal.

“Kemudahan dan bantuan seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk memajukan perniagaan yang diceburi,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya peluang tersebut dibiarkan begitu sahaja maka wanita akan terus bergantung kepada golongan lelaki dan daya keyakinan diri mereka juga tidak dapat dipertingkatkan.

“Bantuan disediakan kerajaan ini ibarat nadi kepada usahawan kecil untuk meneruskan kelangsungan perusahaan yang dijalankan.

“Bantuan melalui pelbagai program dari semasa ke semasa akan diteruskan bagi membantu penduduk miskin yang mahu memulakan perniagaan serta usahawan kecil yang berhasrat mengembangkan perniagaan sedia ada,” katanya.





0 comments:

share2