KUANTAN - Asas pendapatan melalui pencen bekas wakil rakyat terutama yang tidak berjawatan perlu dikaji semula dengan menaikkan kadarnya supaya golongan itu mendapat bayaran yang lebih baik.
Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, usaha itu perlu dilakukan supaya bekas wakil rakyat yang pernah menabur bakti kepada masyarakat dan negeri mendapat pembelaan sewajarnya selepas bersara.
Menurutnya, perkara itu amat perlu dikaji semula dengan mengambil kira nasib yang dilalui segelintir bekas wakil rakyat yang juga ahli Mubarak apabila ada yang menerima pencen di bawah paras kemiskinan RM1,300 sebulan.
“Mereka ini sebenarnya layak untuk menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) namun segan untuk berbuat demikian.
“Bagi masyarakat, mereka beranggapan bekas wakil rakyat ini berduit sedangkan hakikatnya ada yang terpaksa menjadi pemandu teksi, berniaga dan sebagainya untuk menyara kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi dan menghulurkan sumbangan kepada bekas Ahli Parlimen Rompin yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Mohd Amin Daud, 76 di Kubang Buaya dan keluarga balu bekas Adun Beserah, Allahyarham Datuk Dr Mohd Yusof Mohd Ali di Tok Sira di sini.
Turut bersama, Yang Dipertua Mubarak Pahang, Datuk Dr Abdul Halim Mansor dan Exco Mubarak Kebangsaan, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim.
Abdul Aziz berkata, Mubarak sudah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri untuk mengatasi masalah ini dan berharap supaya kerajaan mengikut jejak langkah Sarawak dan Selangor yang sudah menaikkan gaji wakil rakyat mereka.
“Ramai di kalangan bekas pemimpin yang pernah menabur bakti sepanjang perkhidmatan mereka kini berada dalam keadaan uzur atas faktor usia dan ada yang sudah meninggal dunia justeru agak mendukacitakan sekiranya nasib mereka dan keluarga diabaikan.
“Itulah masalah yang dihadapi bekas wakil rakyat terutama yang hanya berkhidmat selama satu penggal sahaja kerana mereka tidak mendapat pencen yang tinggi dan berdepan masalah untuk menyara kehidupan keluarga dengan barang pencen serendah itu,” katanya.
Beliau berkata, Mubarak sentiasa memberikan perhatian terhadap kebajikan ahli termasuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung mereka dan keluarga.
“Kita mendapat peruntukkan kira-kira RM600,000 melalui sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Yayasan Golf Amal Tan Seri Muhyiddin Yasin (TSMGC) untuk disalurkan kepada 22 ahli Mubarak yang uzur.
“Setakat ini kita telah menghulurkan sumbangan ini kepada ahli Mubarak yang uzur di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan termasuk hari ini (semalam ) di Pahang dan Melaka esok (hari ini),” katanya.
0 comments:
Post a Comment