KUANTAN - Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Google mengambil inisiatif menarik lebih ramai pencinta alam memulihara persekitaran dan mengekalkan keindahan pantai melalui program Berkayak untuk alam.
Justeru, wakilnya, Hari Raju, berkayak secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan menguar-uarkan usaha yang dilakukan MNS betapa pentingnya memulihara persekitaran pantai.
Kayak berkenaan untuk kali pertama dilengkapi Street View Trekker yang disokong oleh Google untuk mengambil gambar keadaan sebenar persisiran pantai.
Hari Raju berkata, beliau mula berkayak pada 9 September lalu dan melengkapkan perjalanan kira-kira 500 kilometer dari Pengkalan Kubor, Kelantan sehingga ke Teluk Chempedak yang dianggarkan sejauh lebih dari 2,000 kilometer.
“Sepanjang berkayak, saya mengambil gambar dan juga berhenti di beberapa kawasan penting termasuk Setiu Wetlands, Rantau Abang dan Cherating,” katanya.
Hari Raju berkata, beliau dan kru MNS sudah bertemu wakil dari Marine Research Station, Universiti Malaya di Bachok dan Sea Turtle Research Unit (SEATRU) Universiti Malaysia Terengganu yang menjalankan kajian berkaitan berkaitan.
“Kita juga turut berbincang dengan pihak pengurusan Ma’ Daerah Turtle Sanctuary, MNS ecoCare Centre di Kerteh dan Pusat Santuari Penyu Cherating sebagai sebahagian daripada misi berkayak untuk alam untuk menghargai individu atau kumpulan yang menjalankan projek pemuliharaan di tepi pantai,” katanya.
Katanya, sepanjang perjalanannya, dia perlu tabah kerana berdepan dengan ombak besar dan angin kencang namun semangatnya tetap kuat kerana melihat keajaiban alam setiap hari dan ada ketika ditemani burung dan penyu.
Ketua projek Berkayak untuk alam Faedzul Rahman, berkata pembuangan sampah adalah masalah dunia dan keindahan pesisiran pantai negara turut dicemari pelbagai jenis sampah termasuk botol air, tin kosong dan lampin pakai buang.
“Manusia menganggap sungai dan lautan hanya sebagai tempat pembuangan sampah. Oleh sebab itu menjadi misi kami untuk mengubah pemikiran ini demi kepentingan kehidupan laut yang semakin hari semakin terancam,” katanya.
Beliau berkata, antara masalah yang direkodkan ialah sampah yang dipukul ombak ke pantai dan sempena program berkenaan, MNS mahu menyampaikan mesej itu kepada orang ramai termasuk menjalankan aktiviti membersih pantai.
Berkayak secara solo adalah antara acara yang dijadualkan dalam program Berkayak untuk alam dengan empat lagi acara di Danga Bay Johor, Port Dickson, Lumut Perak dan Langkawi.
Pada 2 Oktober lalu, di Sungai Ular, Cherating, Paddle for Nature bersama Jabatan Perhutanan menanam pokok rhu dan projek penanaman pokok ini akan berterusan di lokasi lain di semenanjung.
0 comments:
Post a Comment