
PASIR MAS - Lebih 1,000 penduduk di beberapa buah kampung di Tendong melahirkan rasa kecewa apabila perkhidmatan jalur lebar yang disediakan menerusi Program Kampung Tanpa Wayar tidak berfungsi sejak Ogos lalu.
Wakil penduduk, Wan Norhanuddin Mat Salleh, 50, berkata, kemudahan tersebut sepatutnya sudah boleh digunakan namun sehingga hari ini ianya tidak berfungsi.
“Kami telah membuat aduan berhubung perkara ini namun tiada sebarang tindakan yang diambil sedangkan keadaan ini menyebabkan penduduk tertanya-tanya tentang kemudahan itu.
“Sedangkan semua peralatan seperti menara, papan tanda sudah siap dipasang dan ia menimbulkan tanda tanya kepada kami,” katanya.
Sementara itu, Ab Wahad Hussin, 64, berkata, penduduk berharap pihak yang terlibat dapat tampil memberikan penjelasan.
Menurutnya, jika berfungsi kemudahan itu akan dapat digunakan oleh ramai penduduk terutama melibatkan mereka yang tinggal 300 meter dari perkhidmatan itu.
“Ini harapan kami dan berharap kemudahan yang dijanjikan dapat digunakan secepat mungkin,” katanya.
Dia berkata, dengan ada perkhidmatan jalur lebar percuma tersebut ia akan memberi kemudahan kepada penduduk terutama golongan pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan bahan pembelajaran.
“Bukan itu sahaja, malahan sekarang ini ramai penduduk yang menggunakan kemudahan itu untuk urusan harian dan perniagaan,” kata Ab Wahad.

0 comments:
Post a Comment