Islam adalah sistem kepercayaan (system of belief) dan cara hidup (way of life) yang sempurna. Ia tidak saja mengaturkan kehidupan diri yang terhubung dengan Pencipta iaitu ALLAH, manifestasi hubungan dengan ALLAH menjadi asas hubungan dengan manusia dan sistem.
Islam bukan agama yang menolak kemajuan sains dan teknologi. Tamadun silam Islam menjadi testimoni bahawa integrasi ilmu naqliah (wahyu) dan akliah (sains dan akademik) terjadi dan ia melahirkan tamadun.
Barat melakukan pencerahan dengan menterjemahkan kitab sains dan teknologi Islam dalam bahasa mereka khususnya ke dalam bahasa Latin, Hebrew dan Ibrani. Banyak kitab ini dijadikan sumber rujukan supaya transformasi dan renaissance terjadi.
Kitab perubatan Qanun Ibn Sina di samping diterjemahkan ke berbagai bahasa menjadi rujukan mengenai ilmu perubatan di Barat selama lebih 600 tahun. Selepas abad ke 13 umat Islam menghadapi kemerosotan dalam binaan tamadun dan Barat muncul sebagai pembawa tamadun ilmu sains dan teknologi sehingga kini.
Suatu ketika Barat menjadikan agama Kristian sebagai pedoman kehidupan. Hari ini gereja-gereja besar dan Cathederal menjadi muzium dan faham pasca moden yang meletakkan rasionaliti sebagai asas kebenaran meminggirkan agama sebagai tidak relevan.
Lalu elemen hedonisme (berfoya-foya) mula menyubur di samping sikap kebendaan dan individualisme wujud sehingga berlaku keruntuhan kepada sistem kekeluargaan. Kecenderungan baru terhadap LGBT semakin menyubur dan kebebasan perlakuan ini diperundangkan di bawah nama Hak Asasi Manusia dan cuba dipaksakan terhadap orang lain.
Jumlah umat Islam di Eropah semakin bertambah dengan pesatnya. Statistik menunjukkan kadar (kesuburan) atau fertiliti kalangan warga Islam di Barat meningkat dan fertiliti kalangan keluarga Barat menurun dan ia dikatakan boleh mengatasi masyarakat Eropah dalam tempoh 50 tahun.
Fenomena ini telah melahirkan Islamofobia atau kegentaran terhadap Islam. Manusia pada hakikatnya sedang mencari suatu Order Baru Dunia yang maju dalam sains dan teknologi tetapi dipandu oleh etika dan nilai yang berpedoman. Hedonisme, faham kebendaan, seks bebas, hak asasi manusia tanpa pedoman agama bakal menghancurkan umat manusia.
Islam adalah agama yang sangat mementingkan pembangunan watak yang fitrah sifatnya di mana kemajuan ilmu agama (naqliah) dan sains terbukti tidak bercanggah dan mendorong kepada kemajuan dan perubahan.
Justeru Barat dalam tempoh tujuh abad yang lalu melihat sains dan teknologi sebagai sesuatu yang amat penting. Kepentingan ini tidak ditolak oleh Islam. Banyak manfaat berbanding di Barat hari ini dalam bidang sains dan teknologi berguna untuk umat Islam. Cuma ilmu-ilmu ini harus ditindikkan dengan nilai guna yang berasaskan etika.
Proses ini sekiranya terjadi dalam kalangan umat Islam iaitu penampilan semula tradisi saintifik yang islamik dan tidak melanggar faktor syarak di samping pengukuhan sistem kepercayaan berasaskan tauhid bakal memimpin umat manusia ke arah perubahan dan kemajuan yang lebih memberi erti.
Umat Islam harus menjadikan ini sebagai keutamaan. Banyak tenaga terbazir kerana peperangan, permusuhan dan perseteruan sesama umat dan menyebabkan kekayaan hasil bumi yang terdapat dieksploitasi oleh pihak lain dan kegagalan umat menghasilkan sistem pendidikan yang integratif.
Islam adalah agama damai dan membawa risalah kesejahteraan untuk umat manusia. Sekiranya perkara ini menjadi landasan keutamaan agenda umat masa kini dan masa depan seharusnya mengukuhkan kualiti modal insan yang mampu menjadi model terbaik untuk umat manusia. Jika ini berlaku, masa hadapan umat manusia bersama dengan Islam.
0 comments:
Post a Comment