Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 31, 2014

APLIKASI 'FOR THE RAKYAT' INISIATIF BAHARU PEMUDA UMNO


KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno akan mewujudkan sebuah aplikasi telefon pintar bagi memudahkan komuniti menyalurkan aduan mereka.

Pengerusinya, Sheikh Nafiq AlFirdaus berkata aplikasi dipanggil 'ForTheRakyat' itu akan dilancarkan tahun depan bagi pengguna telefon bimbit jenis Android dan IOS.

Katanya idea untuk mewujudkan aplikasi itu dimulakan setelah mendapati portal untuk aduan rakyat 'ForTheRakyat' milik mereka mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Melalui aplikasi ini, rakyat lebih mudah membuat aduan dan mengambil foto kepada sebarang permasalahan yang terjadi di hadapan mereka dan boleh menyalurkan terus aduan kepada kami untuk dimajukan kepada agensi-agensi yang terlibat," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui ketika melakukan lawatan ke Wisma Bernama bersama beberapa pegawai dari biro itu di sini hari ini.

Terdahulu, beliau diberi taklimat mengenai agensi berita ini sebelum dibawa melawat ke Unit Visual BernamaTV, Radio24 Bernama Radio dan Jabatan Pengarang bagi menyaksikan pengoperasian setiap unit.

Taklimat mengenai operasi Bernama disampaikan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Zakaria Abd Wahab, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Luar Negeri dan Antarabangsa, Ahmad Zukiman Mohd Zain dan pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Mikhail Raj Abdullah.

Sheikh Nafiq berkata portal interaktif 'ForTheRakyat' yang dilancarkan pada April lepas mendapat sambutan yang menggalakkan apabila menerima 10,000 pengikut dalam tempoh enam bulan.

"Daripada jumlah itu, kami menerima pelbagai aduan antaranya masalah sosial dan infrastuktur selain pelbagai pendapat daripada masyarakat. Setakat ini, sebanyak 365 aduan diterima manakala 331 kes berjaya ditangani," katanya.

Beliau berkata selain aduan, portal itu juga bertindak sebagai platform untuk komuniti bersuara, memberi cadangan dan jalan penyelesaian.





0 comments:

share2