Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 25, 2014

ROMPIN: PANGGILAN TELEFON SELAMATKAN NYAWA


Keadaan bahagian dapur rumah Rosyanti yang hangus terbakar.

Rompin – Panggilan telefon daripada seorang jiran prihatin telah menyelamatkan lima sekeluarga yang sedang nyenyak tidur selepas rumah didiami mereka di Taman Idaman, di sini, terbakar kira-kira jam 12.15 tengah malam kelmarin.

Rosyanti Idros, 29, berkata, dia bersama suami, Hazmin Ramly, 32, dan tiga anak mereka iaitu Mohamad Hazrel Farish, 2, dan pasangan kembar Nur Rieya Athrieyana, Nur Rieya Athzrieyana, 8, sedang tidur di bilik utama rumah berkenaan ketika kejadian.

Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan seorang jiran tinggal di belakang rumahnya melalui panggilan telefon.

“Selepas dimaklumkan jiran melalui panggilan telefon, saya segera bangun dan kejutkan suami serta anak-anak untuk menyelamatkan diri dan apabila pintu bilik dibuka, api sudah merebak dan rumah dipenuhi asap.

“Saya segera capai kunci rumah lalu campak keluar ikut pintu depan minta jiran bantu bukakan gril yang berkunci dan kami cepat-cepat angkat anak-anak untuk dibawa keluar.

"Syukur Alhamdulillah kami semua selamat, cuma suami melecur di bahagian muka dan bahu ketika cuba selamatkan anak-anak manakala seorang anak kembar melecur sedikit di kaki,” katanya.

Akibat kejadian itu katanya, dia melecur di tapak tangan manakala suami melecur di bahagian muka dan bahu kerana cuba selamatkan anak-anak sementara seorang anak kembarnya melecur sedikit di bahagian kaki.

“Walaupun kami cedera namun syukur Alhamdulillah semuanya selamat.

“Terima kasih banyak-banyak kepada jiran yang bertungkus-lumus membantu menyelamatkan barang-barang kami,” katanya.

Dalam pada itu, seorang jiran, Mohd Azwadie Abu Bakar, 29, berkata, dia terjaga dari tidur kira-kira jam 12 tengah malam kerana terdengar jeritan jiran-jiran meminta bantuan.

“Selepas terdengar jeritan jiran-jiran minta bantuan kerana ada rumah terbakar, tanpa berlengah kami segera bantu selamatkan barang-barang dan mengeluarkan kereta mangsa dari garaj.

“Kami turut keluarkan tong gas kerana bimbang rumah meletup mengakibatkan kebakaran lebih teruk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Penolong Penguasa Bomba, Shamsul Affandy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuantan pada jam 12.33 tengah malam dan bergegas ke tempat kejadian.

0 comments:

share2