Ipoh - Pas Perak terkilan dengan kenyataan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan empat Exco Selangor sebagai pengkhianat kerana tidak meletak jawatan berhubung kemelut kerusi menteri besar negeri itu.
Ketua Penerangannya, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, dakwaan Guan Eng itu tidak bersandarkan fakta tepat malah boleh menyebabkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan PR kekal goyah.
“Bagi saya, sekiranya empat Exco Pas itu meletak jawatan pada ketika bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memerintah maka kerajaan PR di Selangor akan runtuh.
“Mereka (empat Exco) juga merupakan benteng terakhir kerajaan PR pada waktu itu di Selangor,” katanya.
Menurutnya, keengganan empat Exco Pas itu meletak jawatan dengan segera juga bagi mengelakkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan di Selangor.
“Jika PRN berlaku di Selangor, berapa banyak lagi masa, wang dan tenaga perlu dikeluarkan selain bagaimana pula dengan persepsi rakyat pada waktu itu kepada PR khususnya?,” katanya.
Mengulas pelantikan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Besar Selangor baharu, Mohd Misbahul berkata, semua pihak khususnya PR perlu menghormati keputusan dibuat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Keputusan yang telah dibuat itu perlu dihormati sekali gus dengan pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu diyakini mampu mengukuh kembali hubungan antara parti dalam PR,” katanya.
Beliau berkata, pada ketika ini, PR seharusnya kembali fokus selain memberi tumpuan kepada masalah yang melingkari kehidupan dan kestabilan hidup rakyat.
“PR Selangor wajib menumpukan kembali gerak kerja yang telah lama tertangguh khususnya terhadap isu dan masalah rakyat,” katanya.
Akhbar kelmarin melaporkan Guan Eng melabel empat Exco Kerajaan Selangor yang masih kekal bersama kerajaan Abdul Khalid sebagai pengkhianat kerana gagal menunjukkan kesetiaan untuk bersama Exco lain yang dipecat.
0 comments:
Post a Comment