Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 18, 2014

'MEREKA YANG DIPILIH MESTI BENAR-BENAR BERKECUALI'


Nur Jazlan Mohamed

Kuala Lumpur - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini meminta kerajaan memastikan anggota Suruhanjaya Penerbangan Awam yang bakal dilantik adalah terdiri daripada golongan profesional dan berkecuali.

Suruhanjaya Penerbangan Awam akan ditubuhkan bagi mengawal selia industri penerbangan adalah antara langkah dalam pelan pemulihan Malaysia Airlines (MAS). 

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pemilihan mereka yang profesional dan berkecuali itu penting bagi memastikan suruhanjaya itu bebas daripada sebarang pengaruh dan sekali gus membolehkan industri penerbangan negara menjadi industri yang dinamik untuk semua syarikat penerbangan, terutama sekali syarikat tempatan.

Beliau berkata mereka yang mempunyai konflik kepentingan tidak boleh dipilih menganggotai suruhanjaya itu kerana ia akan menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan serta menyebabkan kredibiliti suruhanjaya itu dipersoalkan. 

"Mereka (anggota jawawankuasa) yang (bakal) dipilih mesti benar-benar berkecuali, bukannya sedang atau pernah menjawat jawatan dalam kerajaan di peringkat kementerian atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nur Jazlan, yang juga Ahli Parlimen Pulai, berkata bahawa suruhanjaya itu perlu berfungsi sebagai pemantau dan perunding kepada semua syarikat penerbangan tempatan dan tidak memihak kepada mana-mana termasuklah MAS.

Beliau berpendapat, suruhanjaya itu harus menjalankan tanggungjawab seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang bertindak sebagai pengawal selia serta pengantara tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

"Kita perlu sedar dalam industri penerbangan negara kini, bukan hanya MAS tetapi juga AirAsia dan juga Malindo Air yang mesti turut sama dibenarkan bersaing dengan kompetitif serta mendapat segala kemudahan serta keistimewaan (secara) sama rata.

Tidak semestinya MAS yang dimiliki kerajaan melalui Khazanah (Nasional Bhd) mendapat segala keistimewaan hanya disebabkan mahu memulihkan jenama ini, hingga mengakibatkan syarikat (yang lain) dipinggir serta ditekan...ini tidak elok untuk industri penerbangan terutama sekali rakyat," katanya lagi.

0 comments:

share2