Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 9, 2014

IBU, ANAK DISYAKI PENGEDAR DADAH DITAHAN


TAPAH - Polis menahan dua orang wanita yang dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas di sekitar pekan Sungkai di sini.

Ketua Polis Daerah Tapah Asisten Komisioner Som Sak Din Keliaw berkata penahanan ibu dan anak yang masing-masing berusia 54 dan 19 tahun itu adalah susulan daripada penemuan 240 gram dadah pada 5 September lepas.

"Dadah yang dipercayai heroin ditemui ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah di Taman Permai Jaya, Sungkai pada jam 1.30 tengah hari," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini, semalam.

Beliau berkata dadah yang dijumpai di dalam sebuah laci katil di bilik tidur rumah berkenaan telah dipaket kecil iaitu sebanyak 140 paket plastik.

Kesemua dadah paket kecil itu dijumpa di dalam dua bungkusan plastik berasingan yang nilainya dianggarkan sebanyak RM7,000, katanya.

Som Sak berkata kedua-dua suspek yang masing-masing berasal dari Sungkai dan Pulau Pinang didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kami percaya dengan tertangkapnya kedua-dua suspek itu, sindiket pengedaran dadah di sekitar kawasan Sungkai akan lumpuh," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan kini ditahanreman sehingga Rabu untuk membantu siasatan.

0 comments:

share2