
Kuala Terengganu- Seorang lelaki layak digelar cucu durjana apabila tergamak merompak datuknya sendiri yang juga seorang warga emas dengan melarikan wang sejumlah RM27.
Sebagai pembalasan perbuatan itu, Azwan Abu Bakar @ Mohd Ali, 34, dari Kampung Duyong Besar, di sini, dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Hakim Murtazadi Amran membuat keputusan itu selepas dia mengaku salah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak.
Azwan mengaku salah merompak mangsa, Long Ibrahim, 85, di sebuah rumah di Kampung Duyong Besar, di sini, jam 11.30 pagi pada 23 Jun 2012.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala Azwan tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di rumahnya didatangi Azwan yang juga cucu kelima daripada lapan cucunya, meminta wang.
Bagaimanapun, Long enggan memberikan wang yang diminta Azwan menyebabkan cucunya itu bertindak kasar sehingga berlaku pergelutan.
Azwan berjaya merampas wang sebanyak RM27 yang disimpan dalam kotak rokok dan disorokkan di dalam kilasan kain pelekat dipakai mangsa.
Sebaik mendapatkan wang itu, Azwan melarikan diri dan kejadian itu menyebabkan tangan kanan mangsa melecet dan koyak.

0 comments:
Post a Comment