Tidaklah manusia itu berkahwin demi penceraian. Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta pasti ingin dipertahankan waima masalahnya setinggi gunung mencakar awan. Baik pasangan muda mahupun dewasa, perkahwinan semestinya medan menguji kesetiaan dan keutuhan kasih sayang.
Perkahwinan juga mengajar manusia mengunci nafsu terhadap banyak perkara yang tidak mampu kita lakukan secara bersendiri. Bagi yang memandang ujian itu suatu tusukan positif dalam diri, pasti melihat perkahwinan sebagai platform melengkapi di antara satu sama lain.
Anehnya, kepincangan tetap juga berlaku. Puluhan tahun sekalipun perkahwinan itu dibina, manusia sering tewas dengan percaturan hidup sendiri. Jika sudah tersurat olehNya perpisahan, maka yang bermula dengan keindahan, akan ternoktah jua.. .
Dewasa ini, pasangan muda sering memilih tindakan mudah iaitu mengakhiri perkahwinan pada awal usia. Kebanyakannya berpendapat; untuk apa ditunggu lagi jika sudah tidak sehaluan. Di tunggu sehingga tua pun, jika sudah tiada jodoh, tidak guna juga. Bernarkah telahan itu?
Isu kahwin-cerai dilihat seperti semudah menyalin pakaian. Jika mahu, ia dipakai. Jika tidak mahu, ia dibuka dan dibuang jauh-jauh. Kemudian bila rindu, merujuk semula. Tiada penyelesaian.
Kalau dikaji kadar penceraian di Malaysia, memang wajar untuk kita berasa gusar. Anda mungkin tiada contoh daripada kalangan keluarga terdekat dan saya berdoa mudah-mudahan anda pembaca semua dijauhkan daripada cabaran berumah tangga sehingga membawa kepada penceraian ini. Kita masih boleh belajar dan ambil iktibar daripada berita-berita yang terpapar di akhbar mahupun di media elektronik.
Merujuk kepada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009, kadar perceraian di kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku setiap hari.
Usaha WOW untuk mendapatkan statistik terbaharu dari jabatan itu tidak berhasil apabila pegawai dihubungi memberitahu kebimbangan angka dan statistik penceraian tersebut disalah tafsir sesetengah pihak. Kami menghormati pendapat itu.
Justeru, apakah penyelesaiannya? Mari kita selongkar rahsia hati mereka yang melaluinya. Baik lelaki mahupun perempuan, tentu ada sebab mereka memilih jalan demikian. Ikuti pengakuan mereka dan pendapat umum dalam isu ini.
Cerai sebab suami panas baran
Saya baru bercerai kira-kira dua tahun lalu. Masa itu umur saya baru 27 tahun. Semasa berkahwin saya memegang status isteri kedua, manakala bekas suami dengan isteri pertamanya mempunyai lima anak.
Hasil perkahwinan selama empat tahun, kami dikurniakan seorang cahaya mata.
Sebenarnya punca kami bercerai kerana dia seorang yang panas baran. Saya dan anak sering dipukulnya, biarpun hanya kerana kesalahan kecil.
Mungkin dia buat begitu untuk lepaskan tekanan apabila ada masalah.
Anak masa itu baru berusia tiga tahun pun sanggup dipukulnya. Apalagi saya memang selalu kena sepak dan terajang. Pernah satu hari pipi saya bengkak, manakala gigi saya patah ditamparnya.
Sejak itu, saya lari rumah kerana tak sanggup hidup bersama dengannya lagi.
Saya reda dengan ketentuan ini, mungkin ada hikmah di sebalik apa berlaku. Sekarang saya jaga anak seorang diri tanpa 'makan hati'.
Hidup menjanda tambah masih muda memang banyak dugaan dan 'gangguan'. Apa pun saya sentiasa berdoa jika ada jodoh dipertemukan dengan lelaki lebih baik yang dapat membimbing saya dan anak.
HANNAH MUHAMMAD, 36, SHAH ALAM
Kehadiran orang ketiga
Tak tahu mana silapnya... Kehidupan kami sekeluarga yang dulunya bahagia berubah secara tiba-tiba kerana kehadiran orang baharu dalam hidup suami. Semuanya bermula apabila suami terlibat dalam perniagaan jualan langsung (MLM).
Jika dulu suami begitu mengambil berat keadaan saya dan anak-anak tetapi setelah dua tahun terlibat sepenuh masa dalam MLM, dia berubah sekelip mata.
Ceritanya begini, setelah suami berkenalan dengan seorang wanita yang terlibat sama dalam MLM perangainya mula berubah. Saya tidak mahu berfikiran negatif kerana sebelum itu suami menyatakan hubungannya sekadar adik dan abang angkat. Malah saya juga turut mengenalinya.
Tidak sangka hubungan adik angkat itu bertukar menjadi serius sehingga suami mula lupa akan tanggungjawabnya. Anak-anak pun mula bertanya mana ayah? Hampir menitis air mata setiap kali menjawab pertanyaan mereka.
Saya berasakan lagi lama berdiam diri semakin menjadi-jadi perangai suami. Dek kerana tidak mahu memendam perasaan akhirnya saya bertanya secara terus kepada suami. Saya tidak mahu anak-anak terus bersedih.
Suatu hari ketika suami pulang ke rumah saya mengajukan persoalan yang sudah lama terbuku di hati. Semasa memberi penjelasan saya mula mengesyaki suami menyembunyikan sesuatu. Rupa-rupanya dia telah berkahwin dengan adik angkatnya di Thailand tanpa pengetahuan saya.
Keadaan agak tegang pada waktu itu sehinggalah perkataan yang tidak mahu di dengar oleh mana-mana wanita berkahwin keluar dari mulut suami.
Saya reda dan menerima pengakhiran perkahwinan ini. Mungkin apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Kini kehidupan saya dan anak-anak makin bahagia walaupun sayalah yang menjadi ibu dan ayah kepada anak-anak.
'Kami tidak lagi sehaluan'
Makin kupendam perasaan di hati, makin itulah jiwa memberontak.
Aku tidak mahu terusan dihantui dosa tidak menghormati suami. Biarpun secara zahir tidak nampak aku seperti tidak menghormatinya, namun hatiku sering mengutuk tindakannya terhadap aku.
Anak-anak mungkin terlalu kecil untuk memahami, namun aku terpaksa gagahkan diri memberitahu duduk sebenar apabila ayah mereka jarang pulang ke rumah dan asyik bertanya ke mana ayah mereka pergi. Sampai bila aku harus bohongi mereka dengan alasan kerja... kerja... kerja...
Suamiku bukan kaki pukul, jauh sekali baran, namun satu kekurangan dia yang aku terpaksa terima semasa kami diijabkabul dahulu adalah dia tidak ada kerja tetap.
Tetapi dia ada berjanji untuk memastikan kehidupan kami sempurna walaupun tidak bekerja tetap. Aku pula yakin sahaja sementelah aku juga bekerja dan gaji agak lumayan.
Awalnya suami rajin cari pendapatan dengan bisnes kecil-kecilan menjual baju T, namun setahun selepas itu, dia mula buat 'perangai' beralasan susah dapat customer, terpaksa melepak saja di rumah. Sejak itulah segalanya kutanggung, termasuk keperluan anak-anak yang masih kecil.
Pernah suatu ketika aku tegur perangainya, namun dia menuduh aku mengungkit, kenapa dari dulu aku tak tolak pinangannya. Kejadian ungkit-mengungkit ini selalu berakhir dengan pertengkaran besar boleh dikatakan setiap hari.
Aku kira terlalu panjang untuk diceritakan di sini, namun bolehlah aku beritahu, keadaan ini buat aku stres, kerja mula merosot dan pernah dapat teguran daripada majikan. Aku perlu bangkit, jika aku dibuang kerja bagaimana pula nanti, lalu aku buat keputusan paling mengejutkan keluarga beritahu mereka aku memfailkan cerai. Kini sudah hampir setahun aku turun naik mahkamah menunggu keputusan.
Zulia, 26, Johor
0 comments:
Post a Comment