Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 31, 2014

SIAPA PUNYA ANGKARA?


Daging dan tulang yang ditemui di rumah Mohd Nor.

Seremban - Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Galena Fasa 4, di sini terkejut apabila mendapati dua tulang dan daging dipercayai babi diletakkan di hadapan rumahnya, sebaik pulang berhari raya dari kampung.

Mohd Nor Abdul Rahman, 37, berkata, dia menyedari perkara itu ketika pulang ke rumah kira-kira jam 7 petang pada hari raya pertama lalu.

“Sebaik tiba di rumah, saya lihat ada dua ketul daging di bahagian kiri dan kanan pintu pagar rumah saya.

“Saya berasa pelik kerana ketika saya sekeluarga tinggalkan rumah pada pagi Sabtu lalu tiada pula daging itu,” katanya.

Pelik dengan kejadian itu, katanya, dia segera memanggil beberapa jiran bukan Islam untuk melihat daging dan tulang tersebut.

“Rata-rata jiran yang melihat mengatakan ia kemungkinan besar daging dan tulang babi berdasarkan rupa bentuknya.

“Mereka turut menasihatkan saya membuat laporan polis kerana bimbang penemuan daging itu mempunyai kaitan dengan dendam mahupun ugutan,” katanya di sini, semalam.

Mohd Nor berkata, bukan saja di hadapan rumah, malah di belakang rumahnya turut ditemui serpihan tulang oleh jiran-jirannya.

“Semalam (kelmarin) jiran beritahu saya, mereka menemui serpihan tulang di belakang rumah saya. Saya ingatkan hanya di hadapan rumah sahaja.

“Hanya rumah saya sahaja ada daging dan tulang ini, tetapi rumah jiran-jiran lain tiada,” katanya.

Mohd Nor yang juga pekerja kilang di Seremban 2, berkata, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jalan Campbell.

“Polis ada datang rumah dan mengambil daging dan tulang tersebut untuk siasatan dan pengesahan sama ada ia daging babi atau tidak. Saya tidak punyai musuh dan tidak pernah membuat pinjaman ah long. Saya tak tahu ini angkara siapa," katanya.

Sementara itu, Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin yang hadir ke rumah Mohd Nor berkata, beliau mengutuk tindakan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu dan menyifatkan ia sebagai biadap.

“Jika benar daging dan tulang babi, ia perbuatan melampau lebih-lebih lagi dilakukan ketika hari raya.

“Saya menggesa polis melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu mengesahkan menerima laporan kes.

“Siasatan kes masih berjalan dan sampel daging dan tulang tersebut telah dihantar ke Jabatan Veterinar untuk pengesahan," katanya.

0 comments:

share2