Sungai Petani – Nasi, kuah gulai, telur goreng dan ikan siap dibungkus dengan harga RM4. Sekiranya dibeli bersama air bungkus harganya menjadi RM5.
Itulah situasi yang ditemui semasa serbuan dijalankan ke sebuah gerai di bandar ini di mana pemiliknya sibuk memasak dan membungkus makanan secara terang-terangan tanpa menghormati bulan Ramadan yang mulia dan ibadat berpuasa.
Ketika serbuan, pemilik kedai bersama dua pembantu sibuk menyediakan lauk tambahan memandangkan ketika itu hidangan seperti sambal ikan, kangkung goreng dan telur goreng yang dihidangkan dalam bekas sudah berkurangan.
Jam ketika itu menunjukkan lebih kurang 1.30 petang. Terdapat kira-kira 10 bungkus nasi siap dimasukkan dalam plastik dan 10 bungkus teh o ais juga telah tersedia, hanya menunggu untuk dihantar atau diambil pelanggan bila-bila masa.
Kedudukan lokasi gerai yang berada di lokasi umum juga dikhuatiri menjadi tumpuan kaki ponteng puasa serta kewujudan sebuah sekolah rendah dan menengah yang jaraknya hanya 50 meter sahaja dari premis itu dibimbangi menjadi tarikan kepada pelajar sekolah.
Ketika diserbu, pemilik mendakwa bungkusan nasi siap dibungkus adalah untuk dihantar ke rumah untuk anaknya yang belum makan serta mengaku suaminya yang turut membantu operasi gerai tidak berpuasa kerana terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan.
Sembunyi daun terup
Lain dicari lain pula ditemui. Itulah yang berlaku ketika operasi dijalankan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda bagi menjejaki umat Islam yang tidak berpuasa di Padang Temusu sebaliknya menemui beberapa set daun terup disembunyikan di bilik belakang dekat satu selekoh.
Apabila anggota penguatkuasa tiba, beberapa lelaki dilihat keluar dari arah belakang gerai tersebut.
Hasil pemeriksaan lanjut ke bilik belakang itu menemui beberapa set daun terup yang disembunyikan di beberapa lokasi termasuk dalam beg plastik, dalam kereta tolak dan ada cubaan membaling kad tersebut dalam longgokan sampah yang sedang dibakar.
Rumah jadi ‘kedai’
Hasil maklumat orang awam, anggota penguatkuasa bagaimanapun berjaya mengesan tindakan seorang pemilik rumah di Kota Kuala Muda yang menjadikan bahagian belakang rumahnya sebagai ‘port kaki ponteng puasa’ mendapatkan nasi bungkus.
Pemeriksaan ke rumah terbabit mendapati, lapan jenis lauk disediakan untuk pilihan pengunjung.
Mereka hanya perlu ke pintu belakang rumah dan membuat pesanan kepada pemilik rumah, dalam masa singkat, pesanan siap tersedia.
Dalam pemeriksaan mendapati, lebih 10 bungkusan air sirap tersedia dalam tong ais di bahagian luar, tepi pintu belakang rumah itu.
Tak serik sediakan nasi buat kaki ponteng puasa
Operasi diteruskan ke sebuah kedai kopi dekat pekan Tikam Batu yang menjadi tumpuan kaki ponteng puasa.
Walaupun sudah diserbu berkali-kali, pemilik bukan beragama Islam tegar menjalankan perniagaan dengan menyediakan nasi kepada geng ponteng puasa.
Mereka bukan sahaja memberi peluang kepada umat Islam mendapatkan makanan pada siang hari dengan mudah, malah memberi peluang sekiranya mahu menikmati hidangan di kedai kopi tersebut.
Ketika diserbu, sekumpulan pemuda lari menyelamatkan diri kerana dipercayai berada dalam premis berkenaan bagi membeli nasi.
Peralatan dan perkakasan memasak peniaga dirampas untuk tindakan lanjut setelah berkali-kali amaran tidak diendahkan.
48 anggota turun padang
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, seramai 48 anggota terdiri daripada Pejabat Agama Daerah, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Cawangan Penyiasatan Khas Tentera dan anggota Jabatan Agama Islam Kedah turut serta.
Menurutnya, operasi dibahagikan kepada dua pasukan menggempur lokasi panas sekitar daerah termasuk sekitar Semeling, Merbok, Tanjung Dawai, Tikam Batu, Sungai Petani dan Kota Kuala Muda.
Tindakan dilakukan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Kedah, yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.
“Kita berharap, tindakan ini memberi iktibar kepada umat Islam agar memelihara adab dan kesopanan supaya tidak mencemari bulan Ramadan dengan kegiatan yang salah di sisi agama Islam,” katanya.
0 comments:
Post a Comment