Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 27, 2014

'JUBAH, BAJU RAYA ANAK SIAP TERGANTUNG'


MH17

Putrajaya - “Baju raya memang sudah siap sedia, sudah siap tergantung, baju Siti Darwisha Zulaikha (anak perempuan Shaikh Mohd Noor) pun sudah siap,” luah kakak ipar kepada pramugara MAS MH17 yang turut terkorban dalam insiden malang itu.

Menurut Roziyani Mahdi, 43, persiapan untuk menyambut ketibaan Syawal oleh adik dan adik iparnya itu sudah pun tersedia sebelum Shaikh Mohd Noor Shaikh Mahmood, 44, berangkat ke Amsterdam.

“Raya tahun ini, dia bertugas, sebab itu dia sudah siapkan semua kelengkapan raya untuk keluarganya.

“Baju Allahyarham pun sudah siap, jubah dia pun sudah siap tergantung,” ujarnya hiba.

Pesawat MH17 membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk Allahyarham dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak jatuh, terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat jenis Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) pada Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia), Jumaat.

Menurut Roziyani, sebelum bertolak ke Amsterdam, Allahyarham sempat berpesan kepadanya supaya menjaga anak-anaknya sepanjang ketiadaanya di Malaysia.

“Allahyarham seorang yang sangat penyayang... kak pun sudah anggap dia macam adik kandung kak.

“Dia suruh anak-anaknya panggil kak ibu, dia nak kak jaga anak dia.

“Mintak tolong ya kak, itu kata-katanya sebelum dia pergi... itu pesannya,” luah Roziyani lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sambutan Adilfitri tahun ini, Roziyani berkata tiada lagi raya bagi mereka tahun ini.

“Kita buat apa yang ada sahaja. Kita tak sambut sangatlah sebab kita masih menunggu khabar berita mengenai kepulangan mayat Allahyarham ke Malaysia,” katanya.

Shaikh Mohd Noor meninggalkan seorang balu, Madiani Mahani, 42, yang juga pramugari MAS, serta lima anak berusia lingkungan 2 hingga 13 tahun, termasuk Siti Darwisha dan seorang anak tiri.

0 comments:

share2