IMPIAN Kelantan untuk melakarkan sejarah baharu menjadi pasukan pertama menjuarai kempen Piala FA buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas terikat 2-2 dengan Felda United pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam malam tadi.
Keputusan seri itu sudah memadai buat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim untuk melangkah ke pentas final berdasarkan jaringan di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 5-5.
Dalam aksi malam tadi, Kelantan terlebih dahulu melancarkan beberapa percubaan tepat ke gawang pintu gol Felda.
Namun, dua percubaan tepat yang dilancarkan Khairul Izuan Rosli dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria gagal membolosi gawang Felda yang dikawal Farizal Harun pada minit pertama dan ketiga.
Bagaimanapun, serangan bertali arus itu tidak menjejaskan semangat skuad The Settlers apabila bekas tonggak skuad The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah apabila meledakkan gol pertama pada minit ke-20.
Kelebihan anak-anak Irfan Bakti hanya bertahan selama lapan minit apabila Khairul Izuan menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang yang gagal didakap kemas Farizal.
Kerancakan perlawanan semakin dirasai apabila penyerang import Kelantan, Francis Forkey Doe meletakkan skuad bimbingan George Boateng di depan pada minit ke-34.
Tersentak dengan jaringan itu, Felda kembali mengatur gerak dan hasilnya, Edward Junior Wilson meletakkan skuad The Settlers di landasan tepat ke pentas final.
Penyerang kelahiran Liberia itu melepaskan satu rembatan yang cukup menarik, sekali gus menewaskan penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat pada masa kecederaan babak pertama.
Pada separuh masa kedua, skuad The Red Warriors menggandakan usaha untuk merobek gawang skuad The Settlers tetapi Farizal berjaya menyelamatkan beberapa percubaan tepat yang dilancarkan Kelantan, sekali gus keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kejayaan itu menyaksikan Felda United muncul sebagai pasukan berstatus kelab kedua yang layak ke pentas final selepas Sime Darby layak ke final sebelum tewas 0-1 kepada Kelantan pada tahun 2011.
Skuad The Settlers membuat penampilan sulung dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan menyertai Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2007.
Mereka menduduki tempat ketiga dan berjaya menjuarai Liga Premier 2010.
Felda United bakal berentap dengan Pahang yang menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 2-1 secara agregat pada aksi final Piala FA 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.
0 comments:
Post a Comment