Pekan: Musim buah gajus atau dikenali juga dengan nama jambu golok yang melanda daerah ini kini mampu memberi pendapatan sampingan kepada golongan wanita yang terbabit dengan aktiviti menghasilkan biji gajus goreng.
Ia sedia dimakan dan dijual dengan harga antara RM30 hingga RM45 sekilogram bergantung kepada saiz dan bekalan buah gajus yang hanya boleh didapati selama tiga bulan antara April dan Jun, setiap tahun.
Bagi Rokiah Abd Rahman, 48, dari Kampung Sepauk, Nenasi, di sini, proses seperti memisahkan biji dengan buah, menggoreng, mengetuk dan memanaskan perlu dilalui sebelum biji buah itu boleh dimakan secara mentah atau disira dengan gula.
Menurutnya, selepas proses mencuci dan menjemur selama tiga hari, aktiviti seterusnya ialah menggoreng buah itu yang mengambil masa antara 30 hingga 45 minit menggunakan dapur kayu.
Katanya, proses menggoreng perlu dilakukan berhati-hati kerana biji gajus mengeluarkan minyak akan terbakar dan meletup, sekali gus boleh menyebabkan kecederaan pada individu yang menggorengnya.
0 comments:
Post a Comment