Kuala Lumpur: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengadakan perbincangan pada minggu hadapan susulan isu rampasan bible versi Bahasa Melayu dan Iban milik Persatuan Bible Malaysia (BSM).
Khalid Ibrahim berkata beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi untuk memanggil mesyuarat bersama Mufti Negeri, Datuk Seri Setia Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid, EXCO Agama, Salehen Mukyi, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman serta wakil Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengadakan perbincangan pada minggu hadapan.
"Kerajaan Negeri akan cuba mendapatkan persetujuan bersama sebelum mengadap DYMM Sultan Selangor untuk kata putus," kata Khalid dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Khamis lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah memutuskan kes menutup kes rampasan 300 kitab bible daripada BSM, Januari lepas kerana tiada kes untuk didakwa dan menasihatkan kerajaan negeri untuk mengikut proses undang-undang dalam mengendali barang kes yang diambil daripada BSM.
Kerajaan negeri kemudiannya meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapatkan khidmat nasihat Salehen Mukyi dan Nik Suhaimi tentang prosedur serta tatacara menurut peruntukan undang-undang bagi tindakan lanjut yang perlu diambil.
Terdahulu, MAIS dalam kenyataannya mengatakan tidak bersetuju dengan keputusan Abdul Gani menutup kes dan mendakwa kerajaan negeri tiada kuasa untuk mengarahkan JAIS memulangkan barang kes kepada BSM.
MAIS turut menyatakan pendirian bahawa mereka tidak akan memulangkan bible yang diambil daripada BSM itu.
0 comments:
Post a Comment