Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 12, 2014

JUMPA 200 BUTIR PELURU KETIKA KOREK TANAH



BATU KURAU - Seorang pemandu jentera berat terkejut dengan penemuan beberapa bungkusan plastik hitam dengan salah satunya berisi 200 butir peluru ketika sedang melakukan kerja mengorek tanah.

Helmi Mohd Napiah, 43, berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.20 pagi itu, dia seperti biasa melakukan tugasnya membersihkan kawasan di Batu 11, di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya, pada hari kejadian, dia bersama pemilik tanah berasa tidak sedap hati dan cuba meninjau kawasan berkenaan sekali lagi.

“Tanpa diduga, turut ditemui di lokasi berhampiran beberapa beg plastik hitam lagi yang diisi dengan komponen motosikal yang telah dileraikan,” katanya.

Helmi berkata, ketika meninjau kawasan berkenaan, dia turut menemui pelbagai jenis aksesori hiasan wanita dan sekeping kad bank yang dilonggokkan di tepi sebatang pokok.

“Lokasi tersebut juga berhampiran dengan tempat penemuan peluru hidup dan komponen motosikal,” katanya.

Helmi berkata, semasa dia sedang melakukan kerja-kerja mengorek tanah di kawasan terbabit, beberapa plastik hitam yang ditemui amat mencurigakan.

“Berikutan bimbang, saya terus memberhentikan jentera lalu memeriksa setiap beg plastik hitam yang dijumpai.

“Memang mengejutkan kerana semua barangan tersebut pasti melibatkan kegiatan jenayah,” katanya.

Helmi berkata, ketika dia cuba membuka beg plastik itu, pada mulanya ia kelihatan seperti objek bergulung menyerupai tali pinggang.

“Namun setelah diperiksa dengan teliti ternyata ia adalah peluru hidup yang masih belum digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, Helmi berkata, berdasarkan keadaan plastik serta barangan yang dijumpai itu mulai reput, dia percaya semua itu telah ditanam lama di kawasan terbabit.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan berlaku kegiatan jenayah di kawasan ini

“ Hal ini kerana, saya turut menemui barangan perhiasan wanita seperti subang, cincin, rantai, kerongsang dan sekeping kad bank milik individu yang tidak dikenali,” katanya.

Menurutnya, sewaktu memeriksa lokasi buat kali kedua, dia turut menemui beberapa lagi longgokan komponen motosikal berhampiran lokasi awal ditemui.

“Longgokan pertama menemukan sayap belakang motosikal, tempat duduk serta pelbagai barangan lain dan pada longgokan kedua pula menemui beberapa lagi komponen motosikal seperti raga dan sebagainya, namun rangka serta enjin motosikal tidak ditemui,” katanya.

Helmi berkata, dia percaya lokasi tersebut yang jauh dari penempatan penduduk setempat dan keadaan persekitaran yang penuh dengan semak samun telah dijadikan ‘port’ untuk mereka meleraikan barangan curi itu.

“Susulan dari beberapa penemuan barangan terbabit, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Batu Kurau.

“Saya harap pihak polis dapat melakukan siasatan lanjut dan berupaya membantu pihak polis menyelesaikan beberapa kes sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, 200 butir peluru kosong jenis 7.62 itu ditemui seorang pekerja kontraktor dalam hutan Ulu Sepetang yang merupakan sebahagian dari kawasan latihan tentera.

“Kita akan hubungi pihak tentera bagi mengesahkan perkara ini,” katanya.



0 comments:

share2