Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 1, 2014

ABD PALIL DIKHIANATI




ENDAU – ROMPIN. “Apa salah saya dan kenapa khianati saya?,” begitulah reaksi seorang pengusaha tembikai di Kampung Sungai Bebuta Besar, di sini, yang terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 akibat perbuatan khianat individu tidak dikenali.

Individu berkenaan dipercayai menuang racun ke dalam kolam takungan air di kebunnya hingga menyebabkan sebahagian tanamannya rosak.

Abd Palil Taib, 57, mula menyedari kejadian itu petang kelmarin apabila dia pergi ke kebun seluas 1.5 hektar itu untuk menyiram tanaman setelah tiga hari tidak menjenguk kerana kesibukan.

“Sebaik tiba di kebun, saya lihat banyak tanaman yang layu serta mati dan seterusnya saya mendapati kolam dipenuhi minyak serta berpuluh-puluh ikan di dalamnya mati. Saya mensyaki ianya perbuatan khianat oleh individu yang tidak dikenali dengan menuangkan racun rumpai ke dalam kolam ini.

“Sepanjang pengetahuan, saya tiada musuh atau berselisih faham dengan sesiapa malah sudah lapan tahun menggunakan kolam ini untuk menyiram tanaman tanpa sebarang masalah,” katanya kepada Sinar Harian.

Terkejut dengan kejadian itu, Abd Palil bertindak membuat laporan di Balai Polis Endau dan terpaksa mencari sumber air lain untuk kegunaan tanaman di kebun beliau itu.

“Saya berharap individu yang berniat jahat dan cuba mengkhianati saya itu supaya bertaubat tidak lagi melakukan perbuatan terbabit kerana ALLAH pasti membalas perbuatan terkutuk sebegitu.

“Akibatnya saya terpaksa menanggung kerugian besar serta menjejaskan sumber rezeki untuk menyara keluarga kerana sepanjang 25 tahun mengusahakan tanaman tembikai inilah kejadian pertama menimpa saya,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkepli Hashim yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan polis sedang menyiasat motif perbuatan dan kes tersebut secara terperinci.


0 comments:

share2