Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR 7 Mei - Pelbagai bantahan yang dibuat oleh pemimpin bawahan sehingga menyebabkan proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecoh merupakan cerminan daripada keperibadian dan hasil didikan pemimpin utama mereka yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohammad Fairus Khairuddin berkata, PKR kini sedang menuai hasil daripada contoh yang ditunjukkan Anwar apabila ahli-ahlinya turut dibakar dengan sifat kebencian dan sentiasa tidak berpuas hati sekiranya keputusan yang dibuat tidak seperti diharapkan.
Katanya, perjuangan menegakkan pluralisme agama dan liberalisme juga menyebabkan ahli-ahli PKR tidak lagi berjuang berlandaskan jiwa Melayu yang kaya dengan kesopanan sebaliknya mereka seolah-olah sudah tidak bermoral apabila kerap menggunakan perkataan berunsur hasutan dan makian terhadap sesama sendiri.
"Saya sentiasa memantau dan melihat perkembangan terkini parti khianat rakyat itu, atas dasar mereka yang tidak memperjuangkan rakyat jadi tidak hairanlah apabila kacau-bilau berlaku di peringkat pengurusan bawahan.
"Atas nama kesaksamaan mereka sanggup berperang termasuk antara rakan-rakan sendiri, parti itu semakin hilang pedoman dan hanya wujud atas kepentingan Anwar yang cuba memecah-belah rakyat, jadi apa yang berlaku ini adalah didikan Anwar," katanya yang juga bekas Setiausaha Pembangunan Integrasi Nasional PKR ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Proses pemilihan PKR di seluruh negara kecoh dengan beberapa cabang diisytihar sebagai tidak sah dan perlu diadakan pengundian semula antaranya di Pulau Pinang, melibatkan Cabang Nibong Tebal selepas timbul dakwaan wujud pengundi hantu dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan pengerusi negeri.
Insiden di Pulau Pinang tidak hanya terhenti di situ kerana di Cabang Balik Pulau, proses pengundian bertukar panas apabila perbuatan kempen dan mencuri pengundi di bilik mengundi menimbulkan rasa tidak puas hati para penyokong sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran yang hampir menjadi insiden tumbuk-menumbuk.
Di Sabah, tiada persediaan rapi menyebabkan sesi mesyuarat dan pemilihan PKR Cabang Tenom yang berlangsung di sebuah hotel bertukar kecoh dan tidak terkawal menyebabkan Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PKR cabang berkenaan, Nazri Udoi memutuskan mesyuarat serta pemilihan dibatalkan.
Sementara itu bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim meminta pemimpin-pemimpin PKR mencermin diri sendiri serta melihat tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan selama ini dan membandingkannya dengan situasi yang dihadapi sekarang.
Menurutnya, bukan sahaja PKR malah DAP juga sepatutnya malu dengan insiden yang berlaku selepas rakyat kini dapat menilai sendiri kemampuan pemimpin-pemimpin pembangkang yang sentiasa menganggap diri mereka yang betul.
"Hakikatnya mereka terlalu cepat menuduh kerajaan, mereka suka sangat menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai (SPR) sebagai menipu tetapi akhirnya pemilihan parti yang kecil pun gagal diuruskan dengan baik.
"Sekarang mereka sudah tahu lebih mudah membuat tuduhan melulu tetapi akhirnya sendiri gagal jadi saya nasihatkan supaya perbetulkan diri sendiri dulu sebelum ambil tahu mengenai orang lain," katanya.
0 comments:
Post a Comment