Cari bekalan selesa, misi penting buat Tok Gajah apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT I) di Larkin, Isnin ini bagi pusingan pertama separuh akhir Piala FA 2014.
Walaupun ia bukan tugas mudah buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu, namun keyakinan dan tekad pasukan boleh membawa Pahang ke pentas final selepas hasrat tersebut musnah di separuh akhir musim lalu berdepan lawan sama.
Ternyata kejayaan mengekalkan kedudukan selaku peneraju Liga Super setakat ini menyuntik moral pemain untuk melakar kejayaan di gelanggang lawan pula walaupun lawan dilihat sedikit liat untuk dijinakkan.
KOMBINASI MANTAP
Semangat tinggi pemain selain kombinasi pemain yang kian menjadi terutamanya gandingan penggempur berbisa mereka, Dickson Nwakaeme bersama Matias Ruben Conti bakal mengundang kerisauan buat tuan rumah yang pastinya perlu bekerja keras mengekang kedua-dua pemain ini.
Skil yang kian menjadi daripada Nwakaeme, dengan aksi bersahaja menggelecek pertahanan lawan dan kecekapan Conti menghidu peluang terhidang menjadi senjata buat Pahang.
Ditambah dengan barisan pemain lain dengan pengalaman masing-masing, Pahang di atas kertas mungkin dilihat memiliki peluang walaupun kelebihan memihak tuan rumah yang beraksi di gelanggang sendiri.
SEMANGAT TINGGI
Keyakinan tinggi perancang yang kian menjadi Hafis Kamal tidak perlu diragui. Lihat sahaja aksi tenangnya setiap kali memiliki bola dikaki sambil memerhatikan kedudukan rakan pasukan di bahagian serangan.
Menimba pengalaman bersama Harimau Malaya untuk dua aksi persahabatan menentang Filipina baru-baru ini pastinya meningkatkan motivasi pemain yang mempunyai kemahiran melalui sepakan percuma.
Kecemerlangan bergandingan dengan Azidan Sarudin pastinya ingin diteruskan pada pertemuan separuh akhir pertama ini untuk sekurang-kurangnya pulang dengan keputusan positif.
INI MASANYA
Bagi pengendali Tok Gajah, Zainal Abidin Hasan, anak didiknya sememang dahagakan kejayaan dan tekad membawa Pahang ke pentas akhir musim ini.
"Segalanya berjalan lancar, pemain bebas kecederaan dan penggantungan yang memberikan banyak pilihan mengatur strategi serta taktikal.
"Bukan tugas mudah buat pasukan apatah lagi beraksi di gelanggang lawan, Cuma saya mahukan pemain kekal fokus dan berusaha memperbaiki kelemahan serta memantapkan posisi masing - masing.
“Kali ini misi bukan mudah sekali gus menebus kehampaan musim lalu selepas tewas di tangan lawan sama pada separuh akhir,” ujar bekas pemain kebangsaan itu.
TEBUS KEKALAHAN
Perjalanan Tok Gajah ke pentas akhir musim lalu di bawah bimbingan Dollah Salleh terkandas di peringkat separuh akhir hasil jaringan gol di tempat lawan yang di perolehi Harimau Selatan selepas mencatat keputusan 2-1 pada aksi kedua di laman berkecuali di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Jun 2013.
Seminggu sebelum itu pada aksi di Larkin, tuan rumah berjaya mengatasi Pahang, 1-0 dan Harimau Selatan layak ke pentas akhir berdasarkan gol di tempat lawan walaupun terikat dengan agregat 2-2.
0 comments:
Post a Comment