Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 31, 2014

BAHASA MELAYU DIMARTABATKAN BAHASA KE-5 TERBESAR DUNIA



BEIJING – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur.

“(Ia) bermula seawal kurun ke-15, apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut merangkumi bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu tersebar luas sehingga dipelajari oleh penutur dan orang asing, dan usaha ini telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa,” katanya semasa merasmikan persidangan antarabangsa `Pengajian Melayu 2014 Hubungan Malaysia-China` di Beijing Foreign Studies University (BFSU), pada Jumaat.

Persidangan itu dijadual berlangsung empat hari hingga 2 Jun.

Najib berkata Profesor Wu Zungyu, tokoh bahasa terkemuka dari BFSU China turut mengakui bahawa bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang besar di serata dunia.

“Oleh yangn, tidak hairanlah Pengajian Melayu merupakan satu bidang yang semakin menarik minat orang ramai dan tersebar luas ke seluruh dunia.

“Minat terhadap pengajian Melayu bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu, bahkan telah menjadi satu agenda pendidikan hampir di serata dunia,” katanya.
Pada majlis itu Najib turut melancarkan tiga buah buku – Kamus China-Melayu Dewan, Kajian Bandingan Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian Melayu-China – terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta United Publishing House Sdn. Bhd.

Kamus China-Melayu Dewan mempunyai 20,540 entri dan subentri yang terdiri daripada kosa kata bahasa Cina kontemporari dan lazim dalam urusan seharian.

Buku Kajian Bandingan Pantun Melayu Dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok pula adalah kajian perbandingan dari segi rima, pembayang dan maksud pantun, penggunaan perkataan, dan pemikiran yang terkandung dalam pantun serta nyanyian Melayu-Rakyat Tiongkok,

Buku Eksplorasi Pengajian Melayu-China merupakan himpunan pantun mengenai Pengajian Melayu di China. – BERNAMA


0 comments:

share2