Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 21, 2014

'THE BEST MAN WINS'





Kuantan - "The best man wins" (orang yang terbaik menang), demikian reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah ketika diminta mengulas tentang persaingan tiga penjuru merebut jawatan itu sempena Kongres FAM Ke-50 pada 25 Mei depan. 

Menurut Sultan Pahang itu, baginda tidak kisah dicabar untuk jawatan yang telah disandang sejak 30 tahun lalu, malah menganggapnya pertandingan sihat. 

"Saya Presiden, Tengku Adullah pula timbalan presiden dan Tengku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), ketiga-tiga nak bertanding. Perlu bersedia apa-apa sahaja kemungkinan," titah baginda. 

Baginda yang ditemui selepas merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13 di sini hari ini turut menyatakan tidak gentar dan sedia menghadapi dua pencabarnya. 

Sultan Ahmad Shah juga menolak desas desus yang baginda akan menarik diri dari bertanding bagi memberi laluan kepada anakandanya Tengku Abdullah. 

"Saya tidak kata nak tarik diri, kenapa saya nak buat demikian. Saya tiada bantahan terhadap sesiapa mereka yang bertanding menentang saya. 

"Kita bagi kebebasan kepada semua, kalau kita monopoli nak menjadi itu (presiden) sampai mati, itu tidak ada demokrasi namanya. 

"Kalau saya sahaja (jadi presiden) pun tak betul juga. Pada 25 Mei depan kita akan tahu jawapannya. Kita sahut cabaran," titah baginda.

Menurut laporan 12 daripada 20 badan gabungan FAM telah mencalonkan Tengku Abdullah untuk jawatan presiden berbanding lima kepada Sultan Ahmad Shah. 

Manakala, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail pula mendapat tiga pencalonan.

0 comments:

share2