Bukit Gambir - Seorang pelajar universiti di sini terkejut apabila menemui seorang lelaki di dalam longkang.
Pelajar yang tidak ingin mendedahkan namanya itu berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi dentuman dari arah tempat letak kereta di asrama penginapan universiti berkenaan pada kira-kira jam 11 malam.
“Kemudian saya turun dan terkejut kerana melihat seorang remaja lelaki terduduk dalam longkang, saya rasa dia bukan jatuh kerana keadaannya seperti elok saja iaitu dalam keadaan terduduk.
“Pada ketika itu saya dapati dia masih hidup tapi seolah-olah sesak nafas, dan kemudiannya saya bergegas untuk melaporkannya kepada pengurus tempat penginapan kami,” katanya.
Namun setibanya semula ke tempat kejadian, didapati lelaki berkenaan sudah tidak bergerak lagi.
“Sepanjang berada di universiti ini, ia adalah kejadian pertama kali dan bertambah aneh apabila kebanyakan pelajar di sini langsung tidak mengenali mangsa, kami sendiri hairan.
“Kami harap misteri ini dapat diselesaikan kerana ini adalah tempat pengajian,” katanya.
Pihak keselamatan universiti tersebut kemudiannya menghubungi anggota polis kira-kira jam 12 tengah malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan Ismail Idris berkata, beberapa titisan darah ditemui berhampiran dengan longkang di lokasi kejadian.
“Sehingga kini pihak kami masih belum mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada sebarang pengenalan diri dijumpai,” katanya.
Pemeriksaan awal menunjukkan lelaki berkenaan mengalami patah tulang betis serta luka di bahagian hidung dan dagu.
Selain itu, telinganya juga mengalami pendarahan apabila mayat berkenaan ditemui.
“Kami masih mencari sebarang kemungkinan dalam penyiasatan ini dan saksi yang juga pelajar memang ada mendengar dentuman kira-kira jam 11.30 malam berdekatan lokasi kejadian.
“Sehingga kini kita masih mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut, dan kita akan melihat laporan bedah siasat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment