Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 21, 2014

TAK SANGGUP LAGI BERDEPAN BAHAYA




Gombak - Tiada sijil layak menduduki (CF) didakwa punca utama pelbagai masalah berbangkit melibatkan sembilan blok pangsapuri kos rendah Pinggiran Batu CavesFasa 2 di sini.

Meskipun harga seunit rumah yang dibeli RM25,000 kini telah mencecah sehingga RM80,000, namun kebanyakan penduduk tidak dapat menjualnya disebabkan ketiadaan strata.

Hartanah mereka juga tiada jaminan apabila tidak dapat membeli insurans rumah disebabkan tiada sijil tersebut.

Setiausaha Persatuan Penduduk, Mohd Fauzi Arbain berkata, mereka tinggal di situ atas tiket CF sementara selama enam bulan selepas siap dibina sejak 1995.

Menurutnya, selepas enam bulan pelbagai masalah mula timbul dari segi elektrikal, sistem saliran dan perparitan, penyelenggaraan serta keretakan.

“Pangsapuri di sini adalah projek terakhir perumahan kos rendah pemindahan setinggan dan kami merasa dianaktirikan apabila isu CF di sini berlarutan dalam tempoh lama.

“Wakil rakyat silih berganti, namun tiada siapa dapat menyelesaikan masalah kami. Tak tahu nak mengadu kepada siapa lagi supaya isu CF ini selesai,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, isu keselamatan menjadi pertaruhan apabila dua unit rumah terbakar dan dua kotak elektrik meletup akibat litar pintas sementara blok lain hanya menunggu masa disebabkan keadaannya yang sepatutnya sudah perlu ditukar.

“Baru-baru ini satu blok di sini bergelap hampir tiga hari disebabkan masalah itu dan kami terpaksa mengambil inisiatif mengeluarkan peruntukan sendiri dengan membuat kutipan daripada penduduk untuk menyelesaikan masalah itu selepas pemaju lepas tangan.

“Kami juga tiada badan pengurusan bersama (JMB) dan pemaju enggan bertanggungjawab selepas kebanyakan penduduk di sini tidak menjelaskan yuran penyelenggaraan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi kawasan rukun tetangga, Nazri Nordin meminta supaya janji pemimpin politik akan membantu penduduk mengecat semula bangunan dapat ditunaikan.

“Rumah kami ibarat kubu perang dan orang luar tak sedar akan kewujudan kawasan sini kerana keadaannya dan lokasinya.

“Semasa pilihan raya lalu ada janji politik ditabur selepas penduduk menyuarakan masalah bangunan yang tidak pernah dicat sejak tinggal di sini tapi sehingga kini tiada sebarang kerja dilakukan,” katanya.

0 comments:

share2