Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 20, 2014

'SAYA SEDIH TAK DAPAT SELAMATKANNYA'




Dungun - “Tangannya cuba berpaut pada kaki saya tapi gagal sebab arus terlalu kuat dan dia terus hilang dari pandangan, saya sedih sebab tak dapat selamatkannya,” kata Mohd Faizal Afandi, 16, rakan mangsa lemas di pantai Kuala Abang, petang kelmarin, Mohd Yusrizal Mohd Yuslizan, 16.

Mohd Faizal yang turut berdepan detik cemas ketika cuba menyelamatkan mangsa memberitahu, dia tidak menyangka rakan baiknya itu bakal menemui ajal selepas seronok mandi laut bersama lapan lagi rakan lain.

Menurutnya, mereka sudah lama tidak datang mandi di pantai itu kerana keadaan ombak besar, terutama ketika musim tengkujuh baru-baru ini.

Bagaimanapun setelah melihat keadaan laut kembali tenang, mereka mengambil keputusan untuk mandi laut, apatah lagi ketika itu cuti hujung minggu.

“Kami datang ke sini hanya untuk mandi, tak pernah terfikir rakan kami akan terkorban di sini. Kejadian ini benar-benar beri pengajaran pada kami,” katanya.

Seorang lagi rakan mangsa, Mohd Zahirudin Shapinai, 17, berkata, ketika kejadian, mangsa berada agak ke tengah laut dengan kedalaman air mencecah paras lehernya.

Katanya, sebaik mendengar mangsa meminta tolong, dia cuba menarik mangsa, namun gagal menyebabkan dia juga hampir lemas tetapi berjaya diselamatkan seorang rakan lain yang turut mandi bersamanya.

“Saya tak berani berenang untuk mendapatkan Yusrizal kerana dia berada di tempat air yang agak dalam. Kalau saya berenang ke sana, mungkin saya juga akan lemas kerana ombak kuat,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan, seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai lemas ketika mandi bersama sembilan rakannya kira-kira jam 5 petang di pantai Kuala Abang.

Mangsa yang difahamkan tinggal bersama neneknya di Tok Kah, dihanyutkan arus dan mayat mangsa ditemui penduduk kampung kira-kira jam 6.30 petang, tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

0 comments:

share2