Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 24, 2014

RODA UTAMA MH192 PECAH SEMASA BERLEPAS




Kuala Lumpur - Hasil siasatan awal insiden Penerbangan MH192 Malaysia Airlines (MAS) mendapati roda utama nombor tiga pesawat itu pecah semasa berlepas.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pesawat itu ketika ini ditempatkan di bahagian Kejuruteraan MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pemeriksaan lanjut dan baik pulih.

"Siasatan lanjut oleh pihak berkuasa relevan masih dijalankan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, pada 20 April, Penerbangan MH192 yang dalam perjalanan ke Bangalore, India telah berlepas dari KLIA pada 10.20 malam, membawa 166 penumpang termasuk tujuh anak kapal.

"Sejurus berlepas, anak kapal melaporkan dapat merasai getaran kuat. Pada 10.22 malam, Penerbangan MH2626, yang sedang berbaris menunggu untuk berlepas melaporkan melihat serpihan tayar atas landasan.

"Tidak lama kemudian, Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) di Subang menerima laporan daripada MH192 menyatakan tayarnya pecah," katanya.

Hishammuddin berkata MH192 segera berpatah balik ke KLIA.

"Pada 11.32 malam, pesawat itu terbang rendah di kawasan landasan seperti dinasihatkan oleh Pusat Kawalan Operasi MAS (MAS OCC), dan terus terbang sehingga sehingga 1.20 pagi.

"Pada 1.31 pagi, pesawat itu menghampiri KLIA dan sekali lagi terbang rendah melepasi kawasan landasan di bawah pemantauan wakil MAS OCC dan pada 1.57 pagi, MH192 mendarat dengan selamatnya di Landasan 32L," katanya.

MH192, yang kemudiannya meneruskan penerbangan dan berlepas dari KLIA pada 3.35 petang pada 21 April, selamat tiba di Lapangan Terbang Bengaluru di Bangalore pada 5 petang hari sama.

0 comments:

share2