Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 1, 2014

POLIS JERANTUT CEDERA DILIBAS PARANG



Jerantut - Seorang anggota polis cedera setelah dilibas dengan parang oleh pemuda yang hendak diberkasnya dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Jerantut Supritenden Azid Ismail berkata dalam kejadian 11.30 pagi itu, suspek berusia 24 tahun yang disenaraikan sebagai orang dikehendaki bertindak agresif melibas parang setelah menyedari kehadiran sepasukan polis di
rumahnya.

"Berikutan kejadian itu Koperal Ahmad Irwan Benjamin, 31, cedera di bahagian lengan kiri akibat terkena libasan parang tersebut selain luka di kaki kiri dan lebam di lengan kanannya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa bersama enam lagi anggota polis ke rumah suspek untuk menahan lelaki itu atas kesalahan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana pernah mengugut untuk membunuh ibunya pada tahun lepas.

Bagaimanapun semasa memperkenalkan diri, suspek tiba-tiba bertindak agresif lalu mencapai parang dan melibas anggota terbabit ketika sebelum berjaya ditahan sejurus selepas kejadian.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam bilik suspek, polis menemui sebilah pisau buatan sendiri, sebilah kerambit dan tiga bilah parang panjang.

Selain itu katanya polis juga merampas satu tiub straw warna merah yang disyaki mengandungi dadah jenis heroin.

"Suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini untuk sisatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh," katanya menambah anggota polis yang cedera dirawat di Hospital Jerantut. 

0 comments:

share2