Putrajaya -- Semua pemandu bas ekspres akan menjalani ujian air kencing di semua terminal bas pada setiap hari mulai hari ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.
"Jika dahulu kita buat hanya pada setiap musim perayaan tetapi kini kita akan buat setiap hari untuk memastikan tahap kesihatan pemandu bas sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kemalangan bas di sini hari Selasa.
Beliau berkata operasi yang melibatkan seramai kira-kira 8,600 pemandu ini akan dilaksanakan dengan kerjasama di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
Jelasnya lesen memandu akan ditahan serta-merta sekiranya pemandu tersebut gagal (positif) dalam ujian air kencing itu.
Selain dari itu, katanya pihak JPJ juga akan membuat operasi penyamaran sebagai penumpang setiap hari bermula hari ini.
"Anggota JPJ ini akan menyamar dan merekodkan kesalahan-kesalahan para pemandu sepanjang perjalanan, dan sekiranya terdapat kesalahan saman akan dikeluarkan serta-merta sebaik bas tersebut sampai ke destinasi," katanya.
Katanya, pihak JPJ juga akan membuat pemeriksaan ke atas bas ekspres dan persiaran di hentian rehat dan rawat bagi memastikan setiap bas mempunyai dua orang pemandu.
"Mengikut peraturan bas yang melakukan perjalanan lebih dari 300km mesti mempunyai pemandu kedua dan ini akan dikuatkuasakan mengikut ketetapan di bawah Kaedah 10B Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan arahan ini akan berkuatkuasa serta-merta," tegasnya.
Timbalan Menteri itu berkata arahan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk meletakkan nombor kenderaan bas dan nombor telefon untuk membuat aduan pada setiap tempat duduk di bas mulai 1 Julai.
"Jadi sekiranya penumpang ini mendapati pemandu bas tersebut memandu laju mereka boleh terus membuat khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui nombor tersebut," katanya.
Selain itu, katanya, pemasangan sistem pengesan global (GPS) akan diwajibkan pada setiap bas ekspres dan bas persiaran dalam masa dua bulan ini.
"Dengan sistem ini, setiap bas akan dapat dipantau oleh syarikat masing-masing sama ada bas tersebut melanggar had kelajuan, tidak mengikut laluan yang ditetapkan dan pihak SPAD juga dapat memantau jika sistemnya diganggu," katanya.
Selain itu, kata Abdul Aziz kerajaan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Institut Memandu akan memperkenalkan kurikulum yang baru untuk pemandu mulai 1 Jun.
Dalam konteks ini, penggubalan ini mengambil kira perkembangan dalam industri pemotoran, sistem jalan raya dan tingkah laku yang pelbagai.
"Ciri kurikulum yang baru termasuk meningkatkan kemahiran, penekanan konsep pemanduan berhemah dan budaya mengutamakan keselamatan sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara maju," katanya.
0 comments:
Post a Comment